Ibu cemas anak perempuan lima tahun 'hilang'

Penemuan mangsa tular di media sosial Facebook setelah ditemui orang awam dan dihantar ke Balai Polis Kuala Ketil, Kedah.
Penemuan mangsa tular di media sosial Facebook setelah ditemui orang awam dan dihantar ke Balai Polis Kuala Ketil, Kedah.
A
A
A

BALING - Seorang ibu berdepan detik cemas setelah menyedari anak perempuan berusia lima tahun 'hilang' sebaik sahaja selesai menghantar kakak mangsa ke sekolah kira-kira 7 pagi Khamis.

Wanita berusia 41 tahun itu kemudian mula mencari anaknya di sekitar rumah jiran namun gagal menemui mangsa.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kejadian dilaporkan berlaku ketika ibu mangsa keluar menghantar seorang lagi anak perempuan berusia 13 tahun ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Puteri, Kuala Ketil yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit dari rumah.

Menurutnya, ketika itu, mangsa berada di rumah dalam keadaan pintu tidak berkunci dan tidak dikejutkan kerana sedang tidur sementara bapanya bekerja di Sungai Petani.

"Sebaik sampai di rumah, didapati pintu pagar dan pintu hadapan rumah telah terbuka.

"Ibu mangsa dan jiran terus mencari di sekitar taman kediaman sehingga ke kawasan tabika di mana mangsa bersekolah tetapi tidak jumpa," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, tular di media sosial Facebook berhubung penemuan seorang kanak-kanak perempuan dikenali dengan panggilan 'Aisya' di sebuah bank oleh orang awam dan dihantar ke Balai Polis Kuala Ketil.

Menurut Shamsudin, mereka kemudian dihubungi salah seorang rakan ibu mangsa setelah ternampak status Facebook yang dimuat naik mengenai mangsa, pada jam 7.50 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Ibu mangsa yang hadir ke balai kira-kira jam 8 pagi mengesahkan kanak-kanak itu adalah anaknya yang keluar dari rumah berjalan kaki sehingga ke kawasan bank," katanya.

Tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian.

Difahamkan rumah mangsa terletak di belakang bank berkenaan dan temu bual bersama kanak-kanak itu mengatakan dia keluar dari rumah kerana ingin mencari ibu.