Harga daging tempatan dijangka meningkat menjelang Aidilfitri

Mohamad Yusrizal (kanan) ketika membuat tinjauan harga barang basah di Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.
Mohamad Yusrizal (kanan) ketika membuat tinjauan harga barang basah di Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Harga daging tempatan dijangka akan meningkat menjelang hari raya Aidilfitri susulan kenaikan harga makanan ruminan.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima notis dari salah sebuah syarikat pengedar makanan ruminan terbesar di utara tanah air, yang memaklumkan akan berlaku kenaikan harga bagi makanan ruminan bermula 7 April ini.

Katanya, kenaikan harga makanan ruminan itu adalah disebabkan faktor peningkatan kos bahan mentah di pasaran.

"Menurut notis dikeluarkan syarikat tersebut akan terdapat tambahan harga sebanyak RM4 bagi setiap beg seberat 50 kilogram yang dijual bermula hari ini (Khamis)," katanya ketika membuat tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini pada Khamis.

Menurutnya, kenaikan itu dijangka akan memberi kesan terhadap harga daging di pasaran yang kini sudah pun mencecah RM38 sekilogram di Kedah.

"Harga dedak sebelum ini cuma sekitar RM30 hingga RM35 sebelum dinaikkan kepada RM46 dan dinaikkan lagi hingga RM60 bagi setiap tan metrik.

"Tahun ini harganya sudah mencecah RM80 bagi setiap tan metrik," katanya.

Mohamad Yusrizal menambah, harga daging tidak mustahil mampu mencecah lebih RM40 sekilogram selepas ini melihat permintaan tinggi pada setiap kali sambutan Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

"Kenaikan harga daging dijangka tidak dapat dielakkan kerana peniaga dan penternak semakin terhimpit dengan peningkatan harga makanan ruminan.

"Walaupun kerajaan membuat skim kawalan harga, tetapi harga daging tidak boleh berpandu kepada skim berkenaan kerana berlaku peningkatan harga dedak, jadi peniaga akan rugi," katanya.

Selain syarikat tersebut, Yusrizal turut menunjukkan notis dikeluarkan sebuah lagi syarikat pengedar makanan ruminan popular di utara tanah air, yang sudah pun menambah RM2 kepada setiap beg makanan ruminan dijual kepada penternak sejak 15 Februari lalu.

Sementara itu, penternak Mohamad Alias Zainol Abidin, 31, berkata, sejak Januari lalu, mereka terpaksa menghadapi dua kali kenaikan harga makanan ruminan terbabit.

"Sekali kenaikan berlaku pada bulan Februari dan sekarang pada April pun turut berlaku lagi kenaikan.

"Keadaan ini akan memberi kesan kepada harga jualan daging kerana kami terpaksa menanggung kos penternakan yang sangat tinggi pada ketika ini," katanya.