KPDNHEP rampas 46,000 liter diesel bersubsidi

Saharuddin (kanan) melihat kesan proses pemindahan minyak diesel secara haram.
Saharuddin (kanan) melihat kesan proses pemindahan minyak diesel secara haram.
A
A
A

KUALA NERUS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu berjaya mematahkan kegiatan penyelewengan 46,000 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah jeti persendirian di Kampung Batin di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan lapan pegawai penguat kuasa KPDNHEP pada jam 11.15 malam selepas risikan dilakukan hampir tiga bulan berhubung kegiatan berkenaan.

"Kita dapati berlakunya aktiviti mencurigakan berkaitan kegiatan pemindahan minyak diesel dari sebuah kapal ke tangki skid yang berada berhampiran sebuah jeti tanpa kebenaran daripada pihak Pengawal Bekalan Malaysia.

"Hasil serbuan, sejumlah 46,000 liter minyak diesel dan sebuah kapal pelancongan dengan anggaran nilai keseluruhan RM387,270 telah dirampas," katanya kepada pemberita di lokasi aktiviti tersebut dijalankan di sini pada Khamis.

Menurut Saharuddin, tiga lelaki warga tempatan dikesan sedang leka melakukan kerja-kerja pemindahan minyak diesel dari tangki simpanan yang berada di atas kapal ke sebuah tangki skid di atas jeti ketika serbuan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 17 tangki simpanan, dua buah pam minyak dan dua unit flow meter berada di atas kapal serta satu gulung paip getah dijumpai bersambung dari tangki simpanan yang berada di atas kapal ke tangki skid di atas jeti dipercayai digunakan untuk melakukan proses pemindahan minyak diesel secara haram.

"Dianggarkan terdapat kira-kira 40,000 liter liter minyak diesel di dalam tangki skid dan lebih kurang 6,000 liter minyak diesel di dalam tangki simpanan tersebut.

"Hasil penelitian mendapati kapal pelancongan tersebut telah diubah suai pada bahagian kapal bagi membolehkan kegiatan penyelewengan ini dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiga lelaki berusia 30-an yang merupakan pekerja kapal pelancongan tersebut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.

"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat adalah denda tidak melebihi RM2 juta," katanya.