Soalan sejuta dah jadi dua juta!

Tan Sri Richard Malanjum
Tan Sri Richard Malanjum
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Richard Malanjum yang bakal bersara awal bulan depan hari ini secara berseloroh berkata, soalan satu juta semalam mengenai pengganti beliau sekarang telah menjadi soalan dua juta.

Semalam, Ketua Hakim Negara itu telah ditanya mengenai pengganti dan beliau sambil bergurau menjawab ia adalah soalan satu juta dan beliau menyerahkan kepada prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk melantik pengganti beliau.

Malanjum berkata demikian ketika ditemui pemberita pada pelancaran laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNDP) mengenai International Framework for Court Excellence (IFCE) Malaysia di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Richard Malanjum terus berahsia siapa penggantinya

Apabila ditanya lagi sama ada pengganti beliau telah dikenal pasti, Malanjum yang masih mahu bergurau dengan pemberita berkata; "Saya mengalami sedikit amnesia. Saya tidak ingat, serius saya tidak ingat”.

Terdahulu, Malanjum melancarkan laporan mengenai IFCE dan segmen “Self-Represented Litigant” dalam laman sesawang rasmi Badan Kehakiman Malaysia di sebuah hotel di sini.

Laporan IFCE itu adalah hasil penilaian yang dilakukan pada Oktober 2018 untuk menilai prestasi dan kualiti mahkamah berdasarkan tujuh bidang perundangan. Malanjum adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak sebelum beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 11 Julai tahun lepas, menggantikan Tun Md Raus Sharif yang telah meletak jawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: