Martabatkan bahasa Melayu, jangan rosakkan

Dr Hasrina Baharum
Dr Hasrina Baharum
A
A
A

IPOH - Tindakan mengunakan singkatan perkataan di dalam gegantung dan sepanduk melibatkan program-program kerajaan satu perkembangan tidak sihat kepada bahasa Melayu.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Sultan Idris Shah (UPSI), Dr Hasrina Baharum berkata, sepatutnya bahasa Melayu perlu dimartabatkan melalui penggunaan yang betul.

Katanya, sebagai bahasa rasmi kebangsaan, semua pihak perlu menghormati tatacara ejaan seperi yang telah ditetapkan di dalam sistem bahasa Melayu itu sendiri.

"Itu satu perkembangan yang tidak sihat dan perlu ditegur kerana itu akan menjejaskan kredibiliti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa rasmi negara.

"Perkataan yang tertera di dalam gegantung atau sepanduk dilihat oleh ramai orang termasuk pelajar yang mungkin akan menganggap ejaan itu betul," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas gambar gegantung dan sepanduk kempen jimatkan air oleh Kerajaan Perak dengan ejaan singkatan yang tular di media sosial.

Hasrina berkata, singkatan perkataan dalam bahasa Melayu memang dibenarkan tetapi kelonggaran itu diberikan jika mesej yang ingin disampaikan itu terlalu panjang melalui medium komunikasi seperti sistem pesanan ringkas (SMS) atau WhatsApp.

Menurutnya, jika ia digunakan untuk cetakan seperti di gegantung atau sepanduk tidak sesuai.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat pelbagai kaedah kreatif boleh digunakan tanpa merosakkan pengunaan bahasa Melayu bagi tujuan kempen atau promosi.

"Jika singkatan perkataan di gegantung itu saya masih tidak setuju sebab ia bercetak. Kalau untuk tujuan perbualan dalam WhatsApp, itu memang dibolehkan tapi caranya kena pandai dan bermain dengan perkataan.

"Saya fikir ini satu trend yang mereka nak ikut tetapi sebenarnya ia merosakkan perkembangan bahasa kita. Kerajaan sepatutnya mendaulatkan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi," katanya.