Terengganu majukan lebih 1,000 hektar tanah terbiar

Dr Azman (duduk, tengah) bersama sebahagian warga media yang hadir pada majlis berbuka puasa malam Rabu.
Dr Azman (duduk, tengah) bersama sebahagian warga media yang hadir pada majlis berbuka puasa malam Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Terengganu berjaya memajukan lebih 1,000 daripada 8,000 hektar tanah yang didapati terbiar di negeri ini dengan pelbagai projek dalam tempoh 13 tahun bermula 2008.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kejayaan itu meletakkan Terengganu berada pada kedudukan kedua terbaik selepas Pahang bagi pencapaian tahun lepas.

Lebih menarik menurutnya, Terengganu juga satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukkan sendiri dalam menjalankan operasi pemulihan tanah terbiar bagi menjadikan tanah tersebut kembali produktif.

“Sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada tahun lepas dan untuk tahun ini, jumlah sama diberikan. Dengan peruntukkan ini, kita beri geran sebanyak RM20,000 bagi setiap hektar tanah terbiar yang akan dipulihkan.

“Geran ini untuk pembinaan infrastruktur seperti pagar, sistem perparitan dan proses bersih tanah supaya ia boleh dibangunkan semula,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Media di Hotel Paya Bunga, di sini malam Rabu.

Tanah terbiar bermaksud tanah milik individu atau syarikat seluas lebih 0.4 hektar yang tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. Bagaimanapun, tanah kerajaan tidak dikira sebagai tanah terbiar.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri bersama Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dan pemilik tanah bekerjasama membangunkan tanah terbiar dengan tanaman seperti durian jenis musang king dan manga harumanis.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh katanya, TADC telah melaksanakan projek berkonsepkan koperasi dengan dua jenis tanaman tersebut di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Aman dan RTB Kampung Rahmat, Setiu.

“TADC mengeluarkan modal mewujudkan koperasi, pemilik-pemilik tanah ini menjadi ahli dan bekerja bersama TADC mengikut satu tempoh perjanjian.

“Selepas tamat perjanjian, tanah ini akan kembali menjadi milik mereka dan boleh terus usahakan kebun ini,” katanya.

Jelas Dr Azman, sebanyak 60 hektar tanah terbiar berjaya dibangunkan tahun lepas dan kerajaan negeri menyasarkan lebih 100 hektar tanah sama dimajukan tahun ini dengan projek bermanfaat.