Bilangan bilionair menurun akibat perang Ukraine

Elon Musk - Foto AFP
Elon Musk - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bilangan bilionaire dunia telah berkurangan kepada 2,668 orang pada tahun ini berbanding 2,755 individu pada tahun 2021 kesan perang Ukraine, pandemik Covid-19 dan pasaran saham menjunam, lapor majalah kewangan Forbes baru-baru ini.

Bagaimanapun, nilai kekayaan bilionair yang tersenarai pada tahun ini ialah AS$12.7 trilion (RM53.55 trilion), menurut majalah berkenaan.

Selebriti terkenal Hollywood seperti penyanyi Rihanna dan Pengarah filem Lord of the Rings, Peter Jackson antara barisan bilionair dunia untuk pertama kalinya tahun ini.

Pengasas bersama syarikat kenderaan elektrik Tesla, Elon Musk yang mempunyai anggaran kekayaan bernilai AS$216 bilion (RM910.76 bilion) menjadi orang yang paling kaya di dunia berdasarkan senarai Bilionair Forbes 2022 buat pertama kalinya.

Pada akhir tahun lalu, Musk merupakan orang terkaya di dunia.

Musk telah menambahkan kekayaannya kira-kira AS$68 bilion (RM286.72 bilion) sejak setahun yang lalu setelah harga saham syarikat kenderaan elektriknya itu melonjak sebanyak 33 peratus.

Lelaki paling kaya di bumi itu berjaya menewaskan pengasas syarikat peruncitan online Amazon iaitu Jeff Bezos yang jatuh dari kedudukan pertama ke tempat kedua untuk pertama kalinya dalam tempoh empat tahun.

Nilai bersih kekayaan Bezos dianggarkan sebanyak AS$171 bilion (RM721.02 bilion).

Artikel Berkaitan:

Hartawan fesyen Perancis, Bernard Arnault menduduki tempat ketiga, pengasas Microsoft pula, Bill Gates berada di tempat keempat dan pelabur dari Amerika Syarikat (AS), Warren Buffett berada di tempat kelima.

Setelah pasaran kewangan berada dalam keadaan yang tidak stabil pada tahun ini, Forbes mendapati bilangan bilionair tidak seramai tahun 2021.

Bagaimanapun, seramai 1,050 individu daripada 2,668 orang kaya dalam senarai bilionair itu termasuk Musk, Gates dan Arnault didapati berjaya menjadi lebih kaya daripada tahun lalu.

Forbes menggunakan harga saham dan kadar pertukaran asing dari 11 Mac lalu untuk mengira nilai anggaran bersih para bilionair itu.

Seramai 86 orang yang berusia di bawah usia 40 tahun dan 12 lagi individu berumur di bawah usia 30 tahun berada dalam senarai bilionair tersebut.

Bilionair termuda di dunia ialah pewaris rangkaian kedai ubat Jerman yang berusia 19 tahun, Kevin David Lehman dengan anggaran nilai kekayaannya ialah AS$2.4 bilion (RM10.12 bilion) dan pengasas bersama syarikat pertukaran derivatif mata wang kripto, Gary Wang berumur 28 tahun mempunyai anggaran nilai kekayaan AS$5.9 bilion (RM24.88 bilion).

Terdapat juga 327 wanita menjadi bilionair tahun ini yang mana ramai daripadanya mewarisi kekayaan mereka seperti Francoise Bettencourt Meyers yang menduduki tempat pertama kerana datuknya mengasaskan syarikat gergasi kecantikan L'Oréal.

AS mempunyai lebih banyak bilionair daripada negara lain dengan 735 orang manakala China menduduki tempat kedua dengan 607 orang diikuti India dengan 166 orang dan Jerman dengan 134 orang.

Pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan yang dikenakan oleh pemimpin Barat merosakkan pasaran saham dan nilai mata wang rubel sekali gus menyebabkan 34 orang kaya di Rusia terkeluar daripada senarai bilionair tersebut. - Agensi