Kisah 'scammer' yang tidak pernah selesai

No Image Caption
A
A
A

HAMPIR saban hari ada sahaja berita mengenai rakyat Malaysia menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ dilaporkan berlaku, malah sejak akhir-akhir ia dilihat semakin menjadi-jadi.

Lebih parah lagi, mangsa yang terjerat itu bukan sahaja calang-calang orang dan jumlah kerugian pula bukan sedikit apabila ada yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.

Semalam Sinar Harian melaporkan seorang pegawai bank mengalami kerugian sehingga RM243,000 akibat ditipu sindiket pinjaman tidak wujud dalam talian.

Menurut Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Superintendan Mohamad Musa Marsidi, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 54 tahun.

Menurutnya, mangsa telah berurusan untuk membuat pinjaman sebanyak RM80,000 dengan mengisi borang di laman sesawang.

Secara logiknya, mungkin ada yang mengangggap sesuatu yang mustahil seorang pegawai bank yang sememangnya telah fasih dengan selok-belok dunia kewangan turut terjerat dengan penipuan sedemikian.

Namun, apa yang berlaku jelas memperlihatkan sindiket ini bukan sahaja licik malah terlalu hebat sehingga mampu memperdayakan individu yang bukan calang-calang tersebut.

Ilmu apa yang dipakai atau teknik bagaimana yang digunakan sehingga berjaya ‘membeli jiwa’ masih menjadi tanda tanya, sedangkan pelbagai kempen dan advokasi telah dilaksanakan kerajaan dan agensi berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya bukan hanya mengenai ilmu atau teknik rahsia yang digunakan penjenayah terbabit untuk memperdayakan mangsa, malah persoalan juga dibangkitkan bagaimana sesebuah institusi bank atau kewangan boleh meluluskan pengeluaran secara dalam talian dengan jumlah yang begitu banyak dalam satu-satu mangsa oleh sindiket penipuan tersebut.

Sedangkan, bagi pemilik akaun yang sah apabila ingin melakukan sesuatu pengeluaran atau pemindahan wang, ia mempunyai limit atau had jumlah yang boleh dikeluarkan.

Sekiranya pengeluaran itu melebihi had, sebarang urusan perlu dilakukan di kaunter bank atau institusi kewangan terlibat.

Justeru, pihak yang berkaitan perlu melihat jenayah ini dalam aspek yang lebih menyeluruh dan serius serta perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk membanteras 'scammer' ini.

Adakah dengan kempen atau laporan kes mengenai 'scammer' ini sahaja jalan terbaik untuk memberi kesedaran kepada rakyat?

Walaupun hakikatnya hampir setiap hari menjadi mangsa kepada sindiket penipuan ini.

Sama-samalah kita fikirkan apakah solusi terbaik untuk membanteras jenayah penipuan ini demi kesejahteraan bersama.