Operasi kesan 4 penyelam warga Eropah ditangguh

Anggota Maritim Malaysia Negeri Johor ketika melakukan rondaan bagi mengesan empat warga Eropah yang dikhuatiri lemas pada Rabu.
Anggota Maritim Malaysia Negeri Johor ketika melakukan rondaan bagi mengesan empat warga Eropah yang dikhuatiri lemas pada Rabu.
A
A
A

MERSING - Operasi cari dan menyelamat (SAR) empat penyelam warga Eropah yang dikhuatiri lemas selepas menjalani latihan selaman di perairan daerah ini akan disambung semula pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, SAR keempat-empat mangsa berkenaan akan disambung semula pada jam 7.30 pagi.

Beliau berkata, pencarian ditangguhkan pada jam 7.30 malam ini atas faktor penglihatan yang terhad ketika waktu malam.

“Op SAR dikoordinasikan oleh Maritim Malaysia dengan kekuatan 25 pegawai dan anggota serta tiga buah bot bot daripada Zon Maritim Mersing, Pasukan Polis Marin dan Jabatan Perikanan Malaysia.

“Usaha mengesan kesemua mangsa setakat ini telah melibatkan keluasan sektor pencarian seluas 21.45 batu nautika persegi daripada mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan empat penyelam warga Eropah berkenaan didakwa sedang menjalani latihan selaman di perairan Pulau Tokong Sanggol di sini dan tidak timbul semula ke permukaan air.

Difahamkan, kehilangan keempat-empat warga asing termasuk dua wanita itu dilaporkan oleh seorang tekong bot tempatan yang membawa mereka ke perairan berkenaan.

Mangsa terdiri daripada dua lelaki warga Britain berusia 14 tahun dan 46 tahun, seorang wanita warga Perancis berusia 18 tahun dan seorang wanita warga Norway berusia 35 tahun.

Artikel Berkaitan:

Nurul Hizam berkata, jarak dari kawasan darat ke perairan Pulau Tokong Sanggol berkenaan adalah dianggarkan kira-kira sembilan batu nautika.

“Maritim Malaysia bersama pasukan penyelamat juga telah membuka pengkalan sementara untuk operasi mengesan mangsa ini di di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing.

“Berdasarkan maklumat, cuaca di laut kini adalah dengan kelajuan angin 10 sehingga 20 kilometer per jam dan ketinggian ombak adalah setinggi 0.5 meter sehingga satu meter,” katanya.