Polis tingkat kawalan keselamatan di stadium

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Muhammad Idzam
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Muhammad Idzam
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan meningkatkan kawalan keselamatan di dalam dan luar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sempena perlawanan Bola Sepak Super Malaysia 2022 antara Kuala Lumpur City FC (KL City FC) menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, seramai 267 petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berkawal bagi memastikan keadaan keselamatan orang ramai terjamin.

Menurutnya, pemeriksaan akan dilakukan sebelum pintu masuk dan juga selepas memasuki stadium melibatkan pemeriksaan badan serta beg penonton selain penugasan kawalan lalu lintas dan keselamatan bermula jam 8 malam.

"Kita akan memeriksa badan serta beg yang dibawa penonton. Penonton yang tidak lengkap vaksin tidak dibenarkan memasuki stadium.

"Penonton juga tidak dibenarkan membawa masuk barangan terlarang ke dalam stadium seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, laser, mancis, pemetik api, minuman keras dan sebarang objek tajam," katanya.

Muhammad Idzam berkata, jumlah penonton yang telah ditetapkan adalah seramai 5,000 orang.

Mengulas lanjut, pihaknya akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penonton melanggar arahan ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam bagi memastikan kelancaran trafik.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium.

"Tindakan saman dan tunda akan diambil kepada kenderaan yang menghalang lalu lintas," tegasnya.

Muhammad Idzam turut menasihatkan penonton agar sentiasa menjaga penjarakkan sosial dan memakai pelitup muka.

"Orang ramai juga perlu menjaga tatasusila dan tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sewaktu mahupun selepas perlawanan tersebut," katanya.