70 anak penyu lipas dilepaskan ke habitat asal

70 anak penyu lipas dilepaskan di Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul petang tadi.
70 anak penyu lipas dilepaskan di Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul petang tadi.
A
A
A

TELUK KUMBAR - Sebanyak 70 ekor anak penyu Lipas atau nama saintifiknya Olive Ridley Sea Turtle dilepaskan di Pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul petang tadi.

Pelepasan itu dikendalikan Jabatan Perikanan Pulau Pinang yang disempurnakan ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz pada jam 6.30 petang yang disaksikan lebih 50 pengunjung pantai berkenaan.

Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar berkata, penyu lipas merupakan spesies terancam dan pantai tersebut merupakan kawasan haiwan itu mendarat.

Menurutnya, ibu penyu itu dikesan sedang bertelur di pantai berkenaan oleh seorang pemilik restoran makanan laut, Tan Tatt Ghee, 45 yang membuka perniagaannya berdekatan kawasan berkenaan pada 18 Januari lalu.

"Setelah menemui telur penyu tersebut, pemilik restoran tersebut telah menghubungi kita dan kita segera datang ke sini lalu mengambilnya untuk dibawa ke Pusat Konservasi Penyu di Pantai Kerachut, Teluk Bahang.

"Sebanyak 104 biji telur ditemui namun hanya 70 ekor yang berjaya menetas dan hidup. Pada usia seminggu penyu-penyu ini, kita melepaskannya ke laut untuk mereka hidup di habitat asal," katanya ketika ditemui tadi.

Menurutnya, kali terakhir pendaratan penyu itu direkodkan di pantai negeri ini adalah pada 2015.

"Kawasan pantai negeri ini merupakan satu-satunya pusat pendaratan penyu spesies ini untuk bertelur selain spesies penyu agar.

Artikel Berkaitan:

"Dengan program yang jarang dibuat ini, kita amat gembira dan terharu dengan sambutan yang diberikan oleh orang awam.

"Ini menunjukkan adanya kesedaran tinggi dalam kalangan orang ramai untuk memastikan spesies penyu ini dapat dipertahankan daripada kepupusan," katanya.

Tambahnya, mana-mana pihak yang menjumpai telur atau induk penyu di pantai di negeri ini perlu melaporkan kepada Jabatan Perikanan Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

"Saya memohon kepada masyarakat yang menjumpai telur, anak penyu, induk penyu atau apa sahaja berkaitan penyu supaya menghubungi kami. Ia untuk tindakan lanjut dan memasukkan ke dalam rekod.

"Kita memuji tindakan yang diambil Tatt Ghee ini kerana secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan spesies penyu lipas untuk generasi akan datang," katanya.