Bilal Surau Al- Qadir, Guchil tak sengaja laung azan awal 4 minit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai dipercayai telah melaungkan azan maghrib awal empat minit daripada waktunya semalam, sehingga kejadian itu tular dalam media sosial.

Imam Masjid Bandar Kuala Krai Armin Azahari Mamat berkata, ketika kejadian, bilal itu tidak menyedari bahawa beliau telah melaungkan azan maghrib pada pukul 7.17 malam, menyebabkan ada segelintir penduduk yang percaya telah masuk waktu berbuka puasa.

"Saya telah dimaklumkan oleh penduduk bahawa tok bilal dari Surau Al-Qadir di Guchil 7, Kuala Krai itu telah melakukan kesilapan tersebut dan beliau telah memohon maaf atas kecuaian yang dilakukannya tanpa disengajakan," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Rabu.

Justeru, beliau berkata, mengikut hukum syarak, penduduk di sekitar kawasan itu yang telah berbuka puasa mengikut laungan azan tersebut, puasanya dikira terbatal dan wajib digantikan selepas berakhirnya Ramadan nanti.

Pada Selasa, tular di media sosial yang mengatakan penduduk di sekitar Guchil 5, 6 dan 7 di Kuala Krai perlu menggantikan puasa selepas dipercayai azan maghrib yang menandakan waktu berbuka puasa telah berkumandang lebih awal daripada waktu sebenarnya.

Mengulas lanjut, Armin menasihati supaya semua masyarakat perlu peka dengan waktu berbuka puasa dan tidak bergantung semata-mata dengan alunan azan yang berkumandang di masjid, surau mahupun stesen televisyen atau radio. - Bernama

Artikel Berkaitan: