Sila log masuk terlebih dahulu.

Sejauh mana Perak FC mampu bertahan

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

NAMA Perak bukanlah asing dalam dunia bola sepak tanah air, malah satu ketika dahulu The Bos Gaurus antara pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga-M), namun kini mula merudum ke tahap terburuknya.

Dalam era kelab tempatan sedang mengukuhkan nilai profesionalisme melalui proses penswastaan, Perak pula dilanda isu kewangan antaranya dibelenggu hutang lapuk selain bergelut dengan masalah keupayaan pemilik mengendalikan pasukan.

Bekas pemain dan jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim menyifatkan situasi menimpa Perak FC sangat memilukan dan mengejutkan sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong dan keseluruhan individu terlibat.

"Watak utama adalah pemain yang menandatangani kontrak sebagai pemain profesional Perak FC dan tidak terima apa yang dijanjikan. Ia pasti menjejaskan tumpuan, komitmen dan kesungguhan dalam latihan dan perlawanan,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Bercakap mengenai pengalamannya sebagai bekas pemain dan sepanjang menjadi jurulatih Perak serta PKNP FC, Abu Bakar berkata perancangan dan sasaran adalah dua elemen penting pada setiap permulaan musim.

Selain itu, beliau berkata, belanjawan mengikut kemampuan kewangan pasukan juga sentiasa menjadi keutamaan untuk mengelak pembaziran dan hutang luar jangka.

"Itu pentingnya ada pengurusan yang tulen dan arif dalam bola sepak untuk menguruskan kewangan, contoh terdekat adalah zaman Perak diterajui Datuk Seri Abdul Fuad Mat Nayan dan Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

"Pengurusan mereka cukup profesional dan banyak membantu jurulatih, pemain dan kelab penyokong dalam berdepan masalah. Aura Perak terserlah pada masa itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Abu Bakar berpandangan yang diperlukan Perak untuk mengubah nasib adalah dengan diterajui pemilik berkemampuan dalam pentadbiran pasukan serta mempunyai pengurusan bersifat telus, amanah dan ikhlas bekerja demi pasukan.

Selain itu, beliau berkata, Perak perlu diurus tadbir pemilik atau syarikat yang mempunyai tahap kewangan kukuh dan aliran tunai meyakinkan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun.

"Syarikat juga mesti mahir dalam menjana pendapatan sendiri melalui pemasaran, merchandise (barang niaga), tiket perlawanan termasuk tiket bermusim, penajaan dan menguruskan akademi.

"Akademi boleh dibuka kepada orang awam terutama penyokong Perak untuk hantar anak-anak setiap minggu dengan kadar yuran berpatutan. Pelatih akademi boleh jadi bekas pemain Perak yang bergelar jurulatih,” katanya.

Menurut Abu Bakar, dengan segala usaha yang memberi impak kepada masyarakat serta bola sepak Perak, ia mungkin dapat menarik minat kerajaan negeri untuk turut menyalurkan dana bagi membantu memeriahkan bola sepak di negeri itu.

Baru-baru ini, Perak FC yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2022 dan sedang terpalit dengan isu pertukaran pemilik, menjadi kelab pertama dihukum pemotongan tiga mata selepas gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan utama serta simpanan bagi musim 2021. -Bernama