Sindiket edar dadah didalangi 'Geng Kitty' tumpas

Dadah yang ditemui di dalam kereta dinaiki suspek ketika diperiksa di Batu 3, Paya Pulai Temerloh, Isnin lalu.
Dadah yang ditemui di dalam kereta dinaiki suspek ketika diperiksa di Batu 3, Paya Pulai Temerloh, Isnin lalu.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi 'Geng Kitty' berikutan penahanan tiga anggota kumpulan itu termasuk seorang wanita di Batu 3, Paya Pulai, Temerloh, pada Isnin.

Susulan penahanan suspek berusia 23 hingga 39 tahun itu, polis turut menemui dan merampas dadah dianggarkan bernilai lebih RM18,000 dalam kereta yang dinaiki mereka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Azmi Awang Lah berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya bertindak menahan kereta dinaiki suspek kira-kira jam 10.20 malam untuk pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kereta dinaiki suspek, polis menemui tiga bungkusan plastik berisi dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 1,552.43 gram dan erimin 5 (16.43 gram).

"Hasil siasatan mendapati, salah seorang suspek berperanan sebagai pengedar manakala dua lagi sebagai pemandu dan penyimpan bekalan dadah.

"Sindiket ini dipercayai memperoleh bekalan dadah heroin dan erimin 5 daripada pembekal di Puchong, Selangor untuk diedarkan kepada penagih sekitar Temerloh," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Azmi berkata, dadah heroin yang dirampas dipercayai mampu untuk dibekalkan kepada 3,105 penagih sehari mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati semuanya positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkait dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tambah beliau, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 39A(1) akta sama.