Sila log masuk terlebih dahulu.

Kos hidup meningkat, impak lebih teruk pada B40: Faiz

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menyifatkan tekanan kos sara hidup semakin meninggi di Malaysia dan impaknya lebih teruk dalam kalangan rakyat B40.

Beliau berkata, data Jabatan Perangkaan menunjukkan isirumah berpendapatan bawah RM3,000 berdepan kenaikan harga telur sebanyak 13.4 peratus, daging lembu (4.5%), sayur-sayuran (4.3%) dan makanan laut (3.7%), hanya dalam bulan Februari 2022.

Menurutnya, jika masalah ini berterusan, ia juga akan memberi kesan kepada golongan M40 yang semakin ramai menjunam ke dalam kumpulan B40.

Katanya, setakat Ogos 2021, seramai 600,000 isi rumah M40 telah jatuh ke kumpulan B40.

"Terbaru, kita dapati harga makanan di bazar Ramadan juga naik mendadak dalam keadaan negara masih bergelut dengan pengangguran yang tinggi (hampir 700,000 orang) dan kenaikan gaji rendah, tekanan kos sara hidup sebegini memaksa rakyat Malaysia merendahkan taraf hidup mereka.

"Paling dikhuatiri anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah akan terpaksa berlapar dan ramai rakyat Malaysia akan mengalami kekurangan simpanan akibat kenaikan kos sara hidup ini," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.

Faiz berkata, ketika rakyat dihimpit oleh pelbagai masalah, kerajaan UMNO, Pas, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak ada strategi yang tuntas untuk menangani isu berkenaan.

"Yang kita lihat hanyalah kawalan harga siling yang tidak efektif dan kelemahan pengawasan pihak berwajib.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun, tindakan-tindakan klise ini hanyalah solusi jangka pendek dan kerajaan bagaikan tidak ada hala tuju jangka panjang dalam menangani keadaan inflasi Malaysia.

"Kawalan harga secara berterusan pula hanya akan mewujudkan masalah lain seperti gangguan terhadap rantaian bekalan akan membantutkan bekalan makanan kepada rakyat seperti yang berlaku baru-baru ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Malaysia memerlukan reformasi struktur atau 'structural reforms' untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kos sara hidup.

Menurutnya, peningkatan gaji secara berkala dan kawalan kos input pengeluaran adalah penyelesaian yang lebih mapan, berbanding pengenalan harga siling.

Selain itu, katanya, kerajaan harus meluaskan sumber import untuk makanan asas seperti padi, ikan dan sayur-sayuran dan tidak lagi terikat dengan amalan 'approved permit' atau AP.

"Pada masa sama, kerajaan harus menggandakan usaha menggalakkan pengeluaran makanan tempatan, misalnya, tanah-tanah terbiar di seluruh negara boleh diusahakan untuk penanaman makanan asas.

"Tetapi, usaha ini harus disertakan dengan inisiatif memastikan pengambilan lebih banyak pekerja untuk sektor pertanian dan meningkatkan gaji rakyat Malaysia dalam sektor pertanian menerusi insentif upah khas," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus menggalakkan pelaburan berkualiti dalam industri agro-makanan.

"Pelaburan baharu dalam industri ini harus berteraskan teknologi dan konsep pertanian pintar dan anak-anak muda dan 'start-up' perlu diberi insentif kewangan dan bukan kewangan untuk merancakkan pengeluaran pertanian," katanya.

Katanya lagi, program satu zon hijau bagi setiap daerah mesti digerakkan dan anak-anak muda serta 'start-up' boleh menjadi peneraju program ini.

"Menerusi program ini, tanah-tanah terbiar di sesebuah daerah boleh dijadikan kawasan bercucuk tanam untuk masyarakat tempatan.

"Program ini bukan saja dapat menjamin bekalan barang pertanian dan makanan yang cukup di setiap kawasan sekaligus mengurangkan harga, tetapi ia juga mencipta peluang pekerjaan kepada belia," katanya.

Faiz berkata, sepatutnya, kerajaan telah mempunyai pelan hala tuju berkaitan kos sara hidup yang terperinci sebelum melonggarkan kawalan pergerakkan tahun lepas.

"Kelewatan menangani isu ini sebelum permintaan tempatan meningkat telah mendorong kenaikan harga barang.

"Kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna digesa untuk tidak terus melengahkan usaha menangani kos sara hidup sebelum lebih ramai rakyat Malaysia terseksa," katanya.