Pengurus kedai makan mengaku tidak bersalah memandu mabuk

Seorang pengurus kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, pada Rabu atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, lebih tiga minggu lalu. - Gambar hiasan
Seorang pengurus kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, pada Rabu atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, lebih tiga minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, lebih tiga minggu lalu.

Mohamad Nazrin Ramli, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu kereta Perodua Myvi di bawah pengaruh alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

Ia melebihi 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah.

Tertuduh tidak berdaya mengawal kenderaan itu dan menyebabkan kematian Ramli Abdul Ajit, 40, di Jalan Kuching menghala pusat bandar di sini, pada jam 12.10 tengah malam, 12 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda lingkungan RM50,000 sehingga RM100,000 serta hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf manakala tertuduh diwakili peguam J Thilagavathy.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu pelupusan kes.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Jun depan.

Pada 12 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar dari arah belakang oleh seorang pemandu mabuk di Jalan Kuching di sini awal pagi Sabtu.