Bantuan khas Aidilfitri minimum RM1,000 di Negeri Sembilan

Aminuddin - Foto Bernama
Aminuddin - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia akan dibayar pada Jumaat depan (15 April) dengan anggaran implikasi kewangan sebanyak RM6 juta untuk seramai 4,050 kakitangan.

"Pemberian BKK bersempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2022 ini diharap meningkatkan motivasi penjawat awam negeri untuk terus memberi perkhidmatan cemerlang.

"Selain itu, pemberian ini juga selaras dengan tema Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2022 iaitu 'Mendaya Upaya Ekonomi Rakyat'," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Pasca Mesyuarat Minggu Exco di Wisma Negeri, pada Rabu.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menghantar tangki statik di kawasan yang menghadapi gangguan bekalan air terawat pada Selasa di beberapa kawasan di Port Dickson seperti Bandar Springhill dan Chuah serta Kuala Klawang, Jelebu.

"Ia berikutan kadar kekeruhan air sungai di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi terlalu tinggi apabila berlakunya hujan lebat di sekitar Seremban hingga loji tidak dapat memproses air mentah dari sungai tersebut.

"Justeru, masalah ini dipastikan tidak berulang terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Pada 2 Mac lalu media melaporkan, kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan RM25 juta bagi mengatasi segera masalah bekalan air terawat di Port Dickson berikutan kekerapan berlaku gangguan bekalan air di sekitar daerah tersebut.

Artikel Berkaitan: