Padah jual ayam melebihi harga ditetapkan

Tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang didapati menjual ayam melebihi harga yang ditetapkan.
Tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang didapati menjual ayam melebihi harga yang ditetapkan.
A
A
A

KLANG - Padah menjual ayam melebihi harga yang ditetapkan, tiga pemborong ayam di sekitar Klang, Puchong dan Kajang dikompaun RM1,000 dalam pemeriksaan di pasar awam dan basah di negeri ini pada Selasa.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan susulan maklumat yang diterima berhubung harga runcit ayam di sesetengah pasar awam serta basah sekitar Selangor yang menjual harga runcit mencecah RM9.30 sekilo.

Menurutnya, harga maksimum peringkat borong ayam standard ialah RM7.60 sekilo manakala harga maksimum peringkat runcit ayam standard ialah RM 8.90 sekilo.

"Pemeriksaan menerusi pasar awam serta basah di sekitar Klang, Puchong dan Kajang mendapati terdapat tiga premis pemborong di ketiga kawasan ini menjual ayam standard pada harga borong melebihi harga yang ditetapkan di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam.

Pemeriksaan dijalankan sekitar kawasan pasar awam serta basah di Klang, Puchong dan Kajang pada Selasa.
Pemeriksaan dijalankan sekitar kawasan pasar awam serta basah di Klang, Puchong dan Kajang pada Selasa.

"Ketiga premis berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap satu premis di bawah peruntukan Seksyen 11, menjual barang kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya, selain itu pemeriksaan dijalankan juga mendapati dua daripada pemborong berkenaan gagal mengemukakan dokumen lesen borong menjual barang kawalan (ayam).

"Pemeriksaan lanjut mendapati dua daripada tiga premis pemborong yang diperiksa tidak mempunyai lesen borong menjual barang kawalan iaitu ayam yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kesalahan ini, siasatan dijalankan di bawah peruntukan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Ayam) 1996, Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.