Tewaskan Benfica jadi azimat Liverpool berdepan Manchester City

Diaz menjaringkan gol ketiga Liverpool pada perlawanan berkenaan. - Foto UggCozy
Diaz menjaringkan gol ketiga Liverpool pada perlawanan berkenaan. - Foto UggCozy
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berharap agar kemenangan 3-1 ke atas Benfica pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada Rabu menyuntik semangat The Reds menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Manchester City pada Ahad.

Menurut Klopp, aksi berdepan City itu disifatkan sebagai antara perlawanan yang perlu dimenangi The Reds dalam usaha muncul selaku pendahulu EPL, musim ini.

“Kejayaan mengatasi Benfica ini diharap menjadikan pemain bersemangat menjelang aksi dengan City pada Ahad yang pastinya menjadi perlawanan tumpuan kerana melibatkan dua pasukan teratas EPL.

"Oleh itu, kesemua pemain diharap dapat melupakan sejenak kemenangan ke atas Benfica dan memberikan fokus pada aksi berdepan City.

"Apa pun, sebagai pengendali, saya tetap gembira dengan kemenangan ini dah berharap momentum kemenangan itu bakal berterusan,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama berkenaan, Liverpool menjaringkan gol menerusi Ibrahim Konate pada minit ke-17 sebelum Sadio Mane menjaringkan gol kedua pada minit ke-34.

Benfica cuba bangkit pada separuh masa kedua apabila Darwin Nunez merapatkan jurang gol pada minit ke-49 tetapi Luis Diaz melengkapkan kemenangan The Reds apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-87.

Sementara itu Klopp menyifatkan kemenangan ke atas Benfica hanyalah merupakan kemenangan ‘separuh masa pertama’ bagi The Reds.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, masih ada ‘separuh masa kedua’ di Anfield 14 April ini yang pastinya jauh lebih mencabar buat skuad kendaliannya itu.

“Kami masih belum boleh berpuas hati dengan kemenangan ini kerana Benfica telah beraksi dengan baik untuk memenangi perlawanan ini.

“Ya, kami ada kelebihan dua gol, tetapi kami tahu ia masih belum berakhir kerana apa sahaja boleh berlaku nanti.

“Oleh itu, selain memanfaatkan kelebihan yang ada ini, kami juga perlu berhati-hati apabila melayan kunjungan mereka (Benfica) nanti,” katanya.