Covid-19: 20,431 kes sembuh, hanya 68 kategori 3 hingga 5

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 12,017 kes baharu Covid-19 pada Selasa menjadikan jumlah kumulatif kes 4,268,486.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 11,958 kes tempatan dan 59 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 6,646 kes atau 55.3 peratus daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 5,303 kes atau 44.13 peratus pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 28 kes (0.23 peratus), kategori empat dengan 15 kes (0.13 peratus) dan bagi kategori lima adalah 25 kes (0.21 peratus),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 68 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 15 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“29 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak. Sebanyak 24 kes pula telah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 38 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas manakala 40 kes lagi mempunyai komorbid dan tiada kes melibatkan ibu mengandung,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, satu kluster baharu direkodkan pada Selasa menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 163.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, sebanyak 234 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 102 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 132.

“Sebanyak 131 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dengan 49 kes disahkan Covid-19 dan 82 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, negara merekodkan sebanyak 20,431 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,062,154 kes setakat ini.

Dalam masa sama, hanya negeri Selangor mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan 51 peratus pada Selasa.