X

Kindly register in order to view this article
!

Semua sekolah di Pasir Gudang dibuka semula 31 Mac

A
A
JOHOR BAHRU - Kesemua sekolah dalam kawasan Pasir Gudang yang ditutup ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim akan dibuka semula pada 31 Mac ini.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan berkata, kerja-kerja pembersihan sekolah juga akan dilakukan terlebih dahulu sebelum sekolah dibuka semula.

“Pembersihan akan dilakukan pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru, penglibatan ibu bapa dan komuniti, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta tanpa melibatkan murid.

“Ia akan mengikut kesesuaian pihak sekolah sebelum sekolah dibuka dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi menangani pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada19 Mac telah memutuskan menghentikan Ops Sungai Kim Kim.

“Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) juga ditutup dan kejadian bencana menunjukkan perubahan semakin positif serta sudah hampir pulih sepenuhnya.

“Sehubungan dengan itu semua sekolah di Pasir Gudang yang ditutup akan dibuka semula mulai Ahad iaitu pada 31Mac,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan kesemua 111 sekolah di Pasir Gudang diarah tutup serta-merta pada 13 Mac sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Maszlee dalam kenyataannya itu berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kepada situasi semasa dan makluman daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!