X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Kenaikan harga bahan mentah, barang import punca harga juadah meningkat

Barjoyai Barjai dan Ahmed Razman
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan harga bahan mentah dan barang import menjadi faktor utama harga juadah di bazar Ramadan meningkat pada tahun ini.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, peniaga tidak mempunyai pilihan menaikkan harga kerana terpaksa membeli bahan mentah daripada pembekal dengan harga tinggi.

“Faktor utama sudah tentu harga bahan mentah oleh pembekal di negara ini yang naik sehingga 30 peratus dan kedua adalah kos penghantaran bahan mentah yang meningkat sebanyak 16 peratus sekali gus turut menyumbang kepada harga makanan yang sudah siap dimasak.

“Selain itu, faktor perang antara Rusia dan Ukraine yang masih belum berakhir juga menyebabkan harga barang naik. Sebagai contoh, Rusia merupakan pembekal lebih 60 peratus pembekalan gandum dunia.

“Jadi, perang itu juga menyebabkan bekalan gandum dunia akan merosot dan harga naik. Beberapa sekatan yang dikenakan akibat perang tersebut juga memberikan impak terutama kepada risiko perniagaan dunia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa bazar Ramadan seluruh negara mendapati wujud trend peningkatan beberapa juadah lauk pauk dan kuih muih.

Menurut Barjoyai, beliau juga kurang bersetuju dengan cadangan untuk menetapkan harga siling bagi makanan yang telah siap dimasak.

“Ia menyebabkan perjalanan ekonomi itu tergendala kerana pasaran penawaran dan permintaan tidak berlaku secara normal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Penganalisis ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sukar untuk kerajaan mengawal harga makanan yang sudah dimasak, namun pemantauan lebih tegas boleh dilakukan untuk mengelakkan pembekal menaikkan harga bahan mentah.

“Memang kita tahu barang keperluan asas ini telah diletakkan harga kawalan, tetapi isunya di sini adalah kurangnya pemantauan dan ada pihak yang menaikkan hati sesuka hati,” jelasnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!