Tak rela kongsi petrol, diesel subsidi

Rata-rata rakyat Malaysia khususnya di Johor meluahkan rasa tidak puas hati kerana tindakan itu sama sekali tidak wajar memandangkan ‘subsidi’ petrol dan diesel dikhususkan untuk rakyat negara ini.
Rata-rata rakyat Malaysia khususnya di Johor meluahkan rasa tidak puas hati kerana tindakan itu sama sekali tidak wajar memandangkan ‘subsidi’ petrol dan diesel dikhususkan untuk rakyat negara ini.
A
A
A

PEMBUKAAN sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April membolehkan warga Singapura memasuki negara ini sama ada menerusi Tambak Johor atau Laluan Kedua Malaysia- Singapura di Tanjung Kupang, Iskandar Puteri.

Kedatangan warga Singapura ini membawa limpahan ekonomi khususnya kepada sektor pelancongan dan peruncitan di Johor Bahru memandangkan nilai mata wang dolar Singapura yang lebih tinggi berbanding Ringgit Malaysia.

Ramai peniaga khususnya di Johor Bahru menarik nafas lega dengan pembukaan sempadan Malaysia- Singapura kerana kehadiran warga Singapura ke negeri ini akan merancakkan semula sektor ekonomi seperti sebelum pandemik Covid-19.

Pembukaan sempadan juga dilihat memberi kelebihan kepada peniaga khususnya yang menjual biskut dan pakaian raya di pusat beli-belah dan bazar Ramadan.

Namun, tindakan segelintir warga Singapura yang mengisi petrol menggunakan nozel berwarna kuning yang disyaki petrol RON95 di sebuah stesen minyak di negara ini, menimbulkan rasa kurang senang.

Beberapa keping gambar kenderaan asing mengisi petrol RON95 di beberapa buah stesen minyak terutama di Johor Bahru yang terletak berdekatan sempadan Malaysia-Singapura tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Rata-rata rakyat Malaysia khususnya di Johor meluahkan rasa tidak puas hati kerana tindakan itu sama sekali tidak wajar memandangkan ‘subsidi’ petrol dan diesel dikhususkan untuk rakyat negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha stesen minyak yang didapati menjual minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

Selain itu, mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) akan dikenakan penalti. Jelasnya, KPDNHEP dari semasa ke semasa juga telah mengeluarkan arahan kepada semua syarikat minyak dan pengusaha yang bersempadan dengan Singapura bagi memastikan pematuhan larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro berkata, seramai 200 orang anggota penguat kuasa akan memantau dan melaksanakan pemeriksaan agar tidak berlaku ketirisan melibatkan barang kawalan terutama petrol dan diesel.

Kerajaan dilaporkan memperuntukkan sejumlah RM3.78 bilion bagi 2021 untuk subsidi petrol RON95, diesel, gas petroleum cecair (LPG) dan minyak masak.

Harga runcit petrol RON95 di Malaysia pada kadar RM2.05 adalah sangat rendah berbanding harga runcit petrol di negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara jiran.

Kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mac lalu, harga runcit petrol di Arab Saudi adalah RM2.59 seliter dan di Indonesia mencecah RM3.74 seliter, manakala negara jiran Thailand (RM5.63 seliter) dan Singapura (RM9.16 seliter)

Harga runcit petrol di Singapura hampir empat kali ganda dengan Malaysia menjadi tarikan biarpun terdapat larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran negara asing sejak 1 Ogos 2010.

Ramai berharap isu rakyat asing mengisi minyak RON95 perlu dipandang serius oleh kerajaan dengan mengambil tindakan tegas selain pemantauan penguat kuasa.

Ada yang berpandangan isu ini adalah perkara lapuk yang pernah berlaku sebelum pandemik. Faktanya, pertukaran mata wang dolar Singapura daripada Ringgit Malaysia menunjukkan mereka mampu membayar lebih tinggi untuk membeli petrol dan diesel bagi kenderaan mewah mereka iaitu RON97.

Biarpun sempadan baharu dibuka, namun isu pembelian petrol bersubsidi oleh kenderaan asing sudah menjadi perkara serius.Hakikatnya, rakyat Malaysia terutama orang Johor tidak rela berkongsi subsidi petrol dan diesel dengan kenderaan asing Singapura.

* Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor