Penjawat awam Melaka terima bantuan kewangan Aidilfitri

Datuk Seri Sulaiman Md Ali - Foto Bernama
Datuk Seri Sulaiman Md Ali - Foto Bernama
A
A
A

ALOR GAJAH- Sebanyak 5,087 penjawat awam negeri Melaka, bakal mendapat bantuan kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri pada Mei depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata bantuan kewangan itu telah diputuskan dalam Bajet Melaka 2022 yang dibentangkan pada Disember tahun lepas.

"Sebelum ini saya telah mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 dan ia dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Januari lepas dan April ini, bayaran tersebut adalah bantuan untuk Hari Raya Aidilfitri yang akan dibayar bersama gaji," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan 1443 Hijrah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu di sini hari ini.

Sebanyak 320 penduduk dalam kalangan asnaf, miskin dan warga emas di DUN berkenaan menerima sumbangan wang tunai dan barangan makanan serta kuih raya.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata imam dari luar Melaka yang dijemput untuk mengimamkan solat tarawih di masjid atau surau di negeri itu dalam tempoh yang lama perlu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Beliau berkata ia bagi memastikan latar belakang dan fahaman imam jemputan berkenaan selari dengan ajaran Islam yang dipraktikkan di negeri itu.

"Ia satu kemestian bagi imam jemputan dari luar Melaka mendapatkan kelulusan daripada MAIM bagi mengekang segala aspek negatif yang mungkin berlaku.

"Syarat ini melibatkan imam jemputan yang dijemput mengimamkan solat tarawih dalam tempoh yang lama, 29 atau 30 hari tetapi jika imam jemputan berkenaan menjadi tetamu untuk satu malam sahaja dan balik hari, ia tidak menjadi masalah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya bagi imam dari luar daerah atau kariah pula tidak perlu mendapatkan kelulusan daripada MAIM dan perkara itu telah diputuskan sebelum ini. - Bernama