Suspek kes seludup migran Wang Kelian ditangkap, didakwa di mahkamah

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang suspek warga Thailand kerana disyaki terlibat dalam kes penyeludupan migran yang dikaitkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian Perlis pada 2015.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di Johor pada 8 Mac lalu.

"Siasatan dijalankan mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memaklumkan, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 (akta 670) pada Selasa.

Abd Jalil berkata, pihaknya tidak pernah berhenti atau cuba menutup sebarang siasatan mengenai penemuan kem dan kubur di Wang Kelian.

“Siasatan kes ini masih berjalan dan pihak polis dalam proses mendakwa beberapa lagi suspek yang terlibat," katanya.

Abd Jalil turut mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan ke mana-mana balai polis yang berdekatan.

Pada Mei 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

Artikel Berkaitan: