Sekolah perlu patuhi syarat bina bangunan di tanah persendirian

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pihak Lembaga Pengurus Sekolah (LPS), sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Segambut, Kuala Lumpur yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan di tanah persendirian adalah tidak wajar.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Bermula pada tahun 2012 hingga tahun 2014, pihak LPS melalui guru besar sekolah tersebut telah memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah berkenaan.

"Memandangkan sekolah tersebut adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu mematuhi tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan," katanya pada Selasa.

KPM berkata, bagi membolehkan permohonan tersebut dipertimbangkan, pihak LPS hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, tiga syarat itu adalah pertama, pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited telah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan.

"Kedua, pihak sekolah mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

"Dan ketiga, LPS mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah ini adalah sekolah kerajaan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

KPM berkata, sehingga kini pihaknya tidak pernah menerima permohonan lengkap yang memenuhi ketiga-tiga syarat yang ditetapkan daripada pihak LPS bagi membolehkan pertimbangan dibuat.