Polis sahkan laporan penemuan rangka rakyat Malaysia di Australia

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan laporan media tempatan berhubung kematian seorang lelaki dipercayai warga Malaysia di Australia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihak berkuasa Australia telah menemui satu rangka manusia di New South Wales pada Ahad lalu yang dipercayai telah dibunuh lebih dari setahun yang lalu.

"Hasil semakan mendapati mangsa dipercayai warga Malaysia berumur 25 tahun dan berasal dari Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ayob Khan berkata, mangsa dipercayai telah memasuki Australia pada November 2016 dengan menggunakan visa pelancong dan ditawarkan sebagai pekerja ladang oleh satu sindiket warga asing yang disyaki terlibat dengan dadah.

"Siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa Australia, sebarang perkembangan siasatan akan dimaklumkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut," katanya.

Ayob Khan menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelak timbul sebarang kekeliruan kepada masyarakat.

Pada Isnin, media melaporkan polis Australia menemui mayat lelaki dipercayai warga Malaysia di kawasan pedalaman di barat laut Bathurst di New South Wales.

Mayat terbabit dijumpai kira-kira jam 3.30 petang selepas penyiasat memulakan pencarian di sebuah kawasan luar bandar di Killongbutta.

Artikel Berkaitan:

Mangsa dipercayai mati dibunuh dengan kejam antara 25 Disember 2020 dan 8 Januari 2021 selepas berlaku salah faham dengan kartel dadah di mana dia bekerja sebagai 'penjaga' kira-kira 1,000 batang pokok ganja.

Portal 9news melaporkan, pihak berkuasa memaklumkan mayat itu akan menjalani pemeriksaan forensik dan proses pengecaman menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan identitinya.

Pada 2021, pasukan petugas polis yang menyiasat kes sindiket dadah mendapati warga Malaysia itu tidak dapat dikesan.

Daily Mail melaporkan, tiga lelaki berumur 33, 22 dan 28 didakwa pada akhir Mac lalu berhubung kematian lelaki terbabit.

Mendiang sudah menetap di Sydney sejak 2016, namun tidak menghubungi keluarganya sejak 28 Disember 2020.