Lapan warga asing tawar seks ditahan

Nanda menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan
Nanda menyoal siasat wanita warga asing yang ditahan
A
A
A

SEREMBAN - Menawarkan khidmat seks dengan bayaran antara RM45 ke RM50 sejam, dua hotel bajet di daerah ini diserbu selepas dijadikan 'port' lelaki jalang melampiaskan nafsu dengan wanita warga asing sejak dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dalam operasi bermula jam 3 petang itu, seramai lapan wanita warga asing berusia antara 25 hingga 35 tahun ditahan selepas disyaki terlibat aktiviti pelacuran.

"Kita percaya apabila negara kini memasuki fasa peralihan endemik, kegiatan pelacuran di hotel bajet sebegini aktif semula.

"Hasil siasatan awal mendapati kegiatan mereka bermula jam 12 tengah hari sehingga 6 petang atau kemungkinan lebih dari itu," katanya ketika ditemui selepas operasi dilakukan pada Selasa.

Menurutnya, polis percaya kesemua wanita berkenaan masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport untuk tujuan lawatan sosial.

Nanda berkata, turut ditahan lima pelanggan termasuk tiga warga tempatan berusia antara 25 hingga 35 tahun.

"Kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B, Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk siasatan lanjut dan turut dirampas beberapa kondom dan wang tunai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Nanda berkata, kesucian bulan Ramadan tidak sepatutnya dicemarkan dengan aktiviti sebegini dan masyarakat yang mempunyai maklumat diminta salurkan kepada polis.