Isu harga ayam: KPDNHEP ambil tindakan tegas termasuk batal lesen

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan keras termasuk membatalkan lesen pihak yang sewenang-wenangnya menjual daging ayam segar melebihi harga siling yang ditetapkan.

Pengarah Penguatkuasanya, Azman Adam berkata, semua pihak iaitu peruncit, pemborong dan penternak perlu menjual mengikut harga siling yang ditetapkan iaitu RM8.90 sekilogram.

"Kita senang sahaja,apabila kita telah menetapkan harga tersebut, itu merupakan harga yang wajib dipatuhi pada setiap peringkat.

"Ini kerana margin ini kita letakkan ada keuntungan pada setiap peringkat dengan kerjasama agensi kerajaan, persatuan dan pihak berkepentingan," katanya pada sidang akhbar di Menara KPDNHEP di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan pengguna berkenaan ada peniaga yang menjual harga ayam segar sehingga mencecah RM10 sekilogram.

"Aduan mengenai kenaikan harga ayam ini kita telah terima dan siasatan sedang dijalankan.

Menurutnya, siasatan KPDNHEP tidak akan berakhir di satu tempat sahaja.

"Kalau peruncit dakwa dia dapat bekalan mahal, kita akan pergi kepada pemborong, kalau pemborong dakwa dapat bekalan daripada penternak mahal kita akan siasat penternak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai faktor kenaikan yang dikaitkan dengan kos bahan mentah, Azam berkata, KPDNHEP akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk tindakan lanjut.

Pada 5 Februari lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga siling runcit ayam standard pada harga RM8.90 sekilogram di Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilaporkan berkata, harga itu akan dikuat kuasa mulai 5 Februari sehingga 5 Jun 2022 iaitu selama 121 hari, bagi menjamin kestabilan harga ayam dan makanan yang berkaitan harga mentah itu.