2 juta kenderaan dijangka masuk Kelantan Aidilfitri ini

Shafien (tengah) semasa sidang media selepas Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di IPD Pasir Puteh pada Selasa.
Shafien (tengah) semasa sidang media selepas Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh di IPD Pasir Puteh pada Selasa.
A
A
A

PASIR PUTEH - Polis Kelantan menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan akan masuk ke negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jangkaan itu dilihat realistik apabila semua sempadan negeri telah dibuka sepenuhnya selepas dua tahun akibat Covid-19, selain negara beralih ke fasa peralihan endemik pada 1 April lalu yang membolehkan masyarakat kembali menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.

"Pertambahan kenderaan (masuk ke negeri ini) dapat dilihat semasa awal Ramadan terutama di kawasan pusat-pusat bandar dan kampung-kampung," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Pasir Puteh yang berlangsung di Dewan Impiana Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di sini pada Selasa.

Shafien berkata, segala persiapan untuk berdepan dengan pertambahan jumlah kenderaan telah dimulakan menerusi penempatan anggota-anggota trafik di kawasan persimpangan utama bagi mengelakkan kesesakan.

Katanya, kehadiran anggota trafik akan melancarkan aliran sekali gus memberikan kelegaan kepada pengguna jalan raya.

Beliau berkata, empat sekatan jalan raya (SJR) di pintu masuk ke negeri ini masih lagi dikekalkan iaitu di Bukit Yong (Pasir Puteh), Batu Melintang (Jeli) dan dua di Gua Musang.

"Polis Kelantan turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) di lokasi-lokasi terpilih.

"K9 ini akan membantu penugasan kita dalam mencegah jenayah terutama penyeludupan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada majlis tersebut, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria secara rasminya dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Pasir Puteh yang baharu berkuat kuasa serta-merta

Sebelum ini, jawatan tersebut disandang oleh Deputi Superintendan Ediansha Endal yang kini menggalas tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh.