30 pelajar PTSS belajar cara hidup orang Asli

Peserta program Jalinan Optimis Mahasiswa (JOM) bergambar bersama.
Peserta program Jalinan Optimis Mahasiswa (JOM) bergambar bersama.
A
A
A

BALING - Seramai 30 pelajar semester 4 Diploma Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) Pauh Putra, Perlis terlibat dalam program Jalinan Optimis Mahasiswa (JOM) di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah selama dua hari, baru-baru ini.

Pengarah projek, Mohd Izwan Ishak berkata, program dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli ini bertujuan menambah ilmu pengetahuan kepada penduduk di situ selain berkongsi cara hidup orang asli kepada pelajar politeknik.

Katanya, penduduk kampung didedahkan dengan pengetahuan tentang sembelihan halal serta amalan kebersihan diri dalam kehidupan seharian.

"Program ini bukan saja melibatkan pelajar dari Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin malah mendapat kerjasama daripada penduduk Kampung Lubuk Legong," katanya.

Katanya, program itu juga berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM2,800 untuk mangsa kebakaran yang berlaku di kampung berkenaan.

"Kita turut menyumbang barang-barang keperluan asas seperti beras, minyak, kopi, susu dan pakaian.

"Sebelum aktiviti ini dianjurkan, kesemua pelajar terlibat terlebih dahulu telah mengadakan perbincangan berperingkat sebanyak tiga kali bersama Tok Batin dan beberapa orang kampung," katanya.

Program JOM ini dirasmikan oleh Ketua Program Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal) Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Zaharizuan Azhar.

Artikel Berkaitan: