Sila log masuk terlebih dahulu.

Varian XE belum dikesan di negara ini

Khairy pada sidang media sempena lawatan kerjanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
Khairy pada sidang media sempena lawatan kerjanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menukar strategi kawalan Covid-19 sekiranya mutasi varian Omicron dinamakan XE yang baharu dikesan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi impak lebih serius.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, varian baharu Omicron XE itu dilaporkan telah pun dikesan di negara jiran iaitu Thailand, namun belum menular di Malaysia, sehingga kini.

Buat masa ini katanya, KKM sedang mengikuti rapat perkembangan varian itu termasuk memantau laporan WHO dan negara lain dalam aspek kadar kebolehjangkitan dan keseriusan ancaman daripada varian sedia ada.

"Kita pun tidak tahu apakah ciri-ciri varian baharu ini, tetapi ada dua benda yang kita lihat iaitu kebolehjangkitannya dan keseriusannya.

"Kalau keseriusannya tinggi macam orang ini dijangkiti dan selepas itu betul-betul sakit sampai masuk ke hospital, kita punya strategi (kawalan Covid-19) perlulah ditukar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin dan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming.

Khairy berkata, langkah-langkah kawalan yang sewajarnya dalam menangani kawalan Omicron XE akan ditentukan sebaik tahap kebolehjangkitan dan keseriusan itu dapat ditentukan.

Menurutnya, ada kebolehjangkitan Omicron lebih tinggi daripada delta menyebabkan kes melambung naik, namun tahap keseriusannya lebih sederhana menjadikan unit rawatan rapi (ICU) tidak lagi penuh seperti dulu.

Artikel Berkaitan:

"Jadi untuk varian baharu ini kita kena tengok negara lain juga sama ada kebolehjangkitannya tinggi atau tahap keseriusannya yang lebih tinggi, barulah kita boleh ambil langkah-langkah yang sepatutnya.

"Buat masa ini, varian ini belum ada di Malaysia, jadi strategi kita tetap sama," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebahagian besar daripada varian yang sedang menular ketika ini adalah Omicron BA2 yang sudahpun memperlihatkan peningkatan kes di beberapa negara lain.

Jelasnya, kajian mendapati, kesan varian itu tidak begitu ketara berbanding varian asal menyebabkan kes-kes kemasukan ke hospital dan ICU di negara ini, semakin menurun.

"Hari ini hampir 98 peratus daripada kes aktif kita berada di rumah hanya isolasi ataupun mengasingkan diri dan pulih di rumah sahaja tanpa rujukan ke hospital," katanya.

Dalam lawatan kerja itu, Khairy meninjau operasi dan keadaan fasiliti wad Long Covid dan Rehabilitasi Hospital Batu Gajah, Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Kompleks Kanak-kanak, Wanita dan Kardiologi serta Jabatan Trauma dan Kecemasan HRPB.

Beliau berkata, KKM akan memperluas dan menaik taraf Jabatan Trauma dan Kecemasan HRPB bagi memberi keselesaan kepada pesakit terutama yang menunggu untuk dihantar ke wad atau ICU.

"Jika kita dapat peruntukan tahun hadapan, ini akan jadi projek keutamaan KKM," katanya.