Paip perlu pastikan perkhidmatan lebih cekap

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN- Kerajaan Pahang meminta Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) supaya melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan perkhidmatan lebih cekap dan berkualiti disediakan untuk rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ini termasuk memastikan rakyat di seluruh Pahang mendapat akses bekalan air yang sempurna.

Menurutnya, bagi tujuan itu, daerah Cameron Highlands dan Jelai adalah lokasi pertama untuk diadakan perbincangan dan mendengar taklimat daripada Paip.

“Seperti janji saya ketika menggulung perbahasan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Jumaat lalu bahawa saya sendiri akan turun padang menjelajah setiap daerah di Pahang.

“Saya juga mengadakan mesyuarat bersama Paip daerah dan pemimpin masyarakat di kawasan itu. Ia bukanlah mesyuarat biasa tetapi mesyuarat yang memberi fokus kepada membincangkan hala tuju dan langkah penyelesaian isu bekalan air.

“Justeru, pada petang ini (Isnin) saya tunaikan janji dan turun padang untuk mendengar taklimat daripada pegawai Cameron Highlands dan Lipis mengenai penambahbaikan sistem bekalan air daerah Cameron Highlands dan kawasan Jelai,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Sri Dr Sallehuddin Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paip, Saiful Zaini Mohd Bokhari; Pengurus Paip daerah dan pemimpin masyarakat.

Beliau turut berharap rakyat dapat memahami pelaksanaan bagi mengatasi masalah yang timbul sedang dijalankan ini akan mengambil masa.

Artikel Berkaitan: