Kapal kargo sisa sawit Vietnam ditahan di Tanjung Penawar

Kapal kargo yang berdaftar di Vietnam ditahan Maritim Malaysia Negeri Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran pada Isnin.
Kapal kargo yang berdaftar di Vietnam ditahan Maritim Malaysia Negeri Johor kerana berlabuh tanpa kebenaran pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Johor menahan sebuah kapal kargo muatan serbuk sisa sawit kerana dipercayai berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Penawar di sini, pada Isnin.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal kargo didaftarkan di Vietnam itu ditahan dalam satu rondaan kira-kira jam 3.30 petang di kedudukan 23.11 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal kargo sepanjang 105 meter itu dikendalikan oleh 18 kru warga Vietnam berusia lingkungan 22 hingga 50 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan kemudiannya mendapati nakhoda kapal kargo telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.

Nurul Hizam berkata, kapal berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

"Kapal berserta kesemua kru yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Tanjung Sedili di sini untuk siasatan lanjut.

"Maritim Malaysia Negeri Johor akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di laut bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan di negeri ini sentiasa terpelihara," katanya.

Artikel Berkaitan: