PGA tahan pemuda bersama mercun dari Thailand

Mercun dan bunga api bernilai RM49,692 dipercayai diseludup dari Thailand untuk dijual semasa perayaan Aidilfitri dirampas PGA, pada Selasa. - Foto PGA
Mercun dan bunga api bernilai RM49,692 dipercayai diseludup dari Thailand untuk dijual semasa perayaan Aidilfitri dirampas PGA, pada Selasa. - Foto PGA
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki bersama pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM49,692 di Jalan Tunjung-Pasir Mas, pada Isnin.

Serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Batalion 7 PGA pada jam 9.15 malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azahari Nusi berkata, bertindak atas maklumat penyeludupan mercun dan bunga api, pasukan menjalankan rondaan serta pemantauan di Jalan Tunjung-Pasir Mas, di sini.

“Pasukan mengesan dan menahan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa berwarna merah yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 22 tahun dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut mendapati terdapat pelbagai jenis mercun dan bunga api yang disembunyikan di dalam karung guni dan kotak di bahagian tempat duduk belakang serta di bahagian bonet belakang,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Katanya, hasil siasatan lanjut oleh pasukan PGA ke atas suspek berkenaan membawa kepada serbuan kedua di sebuah stor bersebelahan premis kediaman keluarga suspek di Kampung Kenjing Repek, Pasir Mas pada jam 11 malam.

“Dalam serbuan tersebut, pasukan berjaya menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam sebuah stor.

“Kesemua mercun yang dirampas dipercayai dibawa masuk dari Thailand dan akan dipasarkan di sekitar Pasir Mas atas faktor permintaan tinggi menjelang musim perayaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, secara keseluruhan, hasil daripada serbuan dan tangkapan yang dilaksanakan membabitkan 40 bungkusan mercun dan 1,208 kotak bunga api dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM49,692.

“Suspek ditahan dan kereta Perodua Kelisa yang digunakan dirampas untuk siasatan.

“Tangkapan dan kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.