Bekas pegawai polis mengaku tidak bersalah terima rasuah RM500

Mohamad Hilmi ketika memasuki Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi mendengar pertuduhan yang akan dibaca kepadanya pada Selasa.
Mohamad Hilmi ketika memasuki Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi mendengar pertuduhan yang akan dibaca kepadanya pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang bekas pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Selasa atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM500 tujuh tahun lalu.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Mohamad Hilmi Abd Hamid, 38, selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh semasa kejadian berpangkat inspektor polis bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling secara rasuah menerima suapan RM500 daripada seorang lelaki di dalam kenderaan jenis Honda Civic pada 17 April 2015 jam lebih kurang 3.45 petang di hadapan Kedai Cili Merah, Kampung Ceruk Bemban, Kupang Baling.

Suapan itu sebagai satu dorongan melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu membantu seorang lelaki lain yang didapati positif morfin dalam ujian saringan awal menjalani hukuman pengawasan dan tidak dihantar ke pusat serenti.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin meminta mahkamah menetapkan wang jaminan RM20,000 dan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM terdekat setiap bulan sepanjang perbicaraan kes berlangsung.

Namun, peguam, S Parameswaran yang mewakili Mohamad Hilmi memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 kerana tertuduh telah memberikan kerjasama baik sejak tujuh tahun lalu kepada SPRM dengan melaporkan diri sebanyak 52 kali sehingga tahun 2020.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Mohamad Hilmi juga telah meletak jawatan sebagai pegawai polis pada 2017 dan kini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pendapatan RM3,000 sebulan sejak 2019 di Pulau Pinang.

"Tertuduh masih perlu menyara isteri dan dua anaknya yang masih bersekolah termasuk membantu menjaga ibu kandung dan ibu mertuanya," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 berserta seorang penjamin kepada tertuduh termasuk menyerahkan pasport dan melapor diri di Pejabat SPRM Sungai Petani setiap dua bulan sekali.

Harmi turut menetapkan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 22 Mei ini dan Mohamad Hilmi kemudiannya membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.