Kilang peleburan logam punca pencemaran bau di Simpang Pulai

Mohd Akmal Kamarudin (dua dari kiri) mengambil sampel makanan untuk diperiksa pada Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri pada Isnin. - Foto Bernama
Mohd Akmal Kamarudin (dua dari kiri) mengambil sampel makanan untuk diperiksa pada Pelancaran Operasi Keselamatan Makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kerajaan negeri mengenal pasti sebuah kilang peleburan sisa buangan elektrik dan elektronik (e-waste) di Simpang Pulai yang didakwa melakukan proses peleburan bahan logam sehingga mengakibatkan pencemaran bau.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ia adalah hasil operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam bagi mengenal pasti punca kejadian di kawasan itu.

"Siasatan mendapati pencemaran bau itu dipercayai berpunca daripada kerja-kerja memproses skrap e-waste dengan peleburan menggunakan suhu yang tinggi dan menghasilkan gas serta air berasid yang mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

"JAS telah menyita peralatan memproses skrap termasuk e-waste di kilang itu di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran operasi keselamatan makanan sempena bulan Ramadan peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan penduduk mengenai pencemaran bau di sekitar Simpang Pulai baru-baru ini.

Mohd Akmal berkata, kerja-kerja memproses skrap tersebut perlu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) sebelum dijalankan bagi mengkaji impak aktiviti tersebut terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, terdapat ratusan kilang di kawasan tersebut dan meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aktiviti pencemaran dan premis mencurigakan kepada pihak berwajib.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal berkata, sampel makanan diambil dalam operasi keselamatan makanan oleh Jabatan Kesihatan negeri di bazar Ramadan bagi memastikan makanan yang dijual adalah selamat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebanyak 223 sampel akan diambil di seluruh negeri bagi tujuan analisis mikrobiologi, kimia, semaran mikologi, aditif makanan, logam berat, cemaran logam, residu dadah vaterina, fizikal, pencemaran semula jadi dan biotek.

Katanya, sebanyak 303 daripada 2,306 sampel yang diperiksa di bazar Ramadan telah diambil bagi operasi sama pada tahun lepas.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 sampel telah melanggar syarat-syarat di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Tindakan kompaun bernilai RM12,300 telah dikenakan kepada premis terbabit,” katanya sambil menambah sebanyak 20 kes keracunan makanan telah dilaporkan berlaku pada tahun lepas. - Bernama