JKN Perak pantau keselamatan, kebersihan makanan di bazar Ramadan

Mohd Akmal (tiga dari kiri) mengambil sampel makanan untuk dianalisis pada Ops Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Arena Square Kuala Kangsar, pada Isnin.
Mohd Akmal (tiga dari kiri) mengambil sampel makanan untuk dianalisis pada Ops Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan Arena Square Kuala Kangsar, pada Isnin.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sebanyak 223 pensampelan makanan di premis makanan terpilih termasuk bazar Ramadan seluruh Perak akan diambil untuk dianalisis menerusi Op Keselamatan Makanan.

Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, kira-kira 70 penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) digerakkan di seluruh negeri bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

"Analisis dijalankan mengikut kategori makanan iaitu kimia, mikrobiologi dan bioteknologi.

"Tahun lalu, sebanyak 303 sampel diambil dan terdapat 12 sampel tercemar, antaranya ayam masak merah, nasi tomato, lala masak lemak dan sup sayur.

"Bagi kesalahan itu, kompaun sebanyak RM12,300 telah dikenakan terhadap 12 pemilik premis terlibat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Op Keselamatan Makanan sempena Ramadan peringkat negeri di Bazar Ramadan Arena Square Kuala Kangsar di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lai Ming dan Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori.

Mohd Akmal berkata, aktiviti pemantauan itu dijalankan bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menurutnya, elemen lain yang dititik beratkan dalam pemeriksaan kali ini adalah kebersihan premis makanan yang beroperasi sepanjang bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

"Komponen utama yang diambil kira dalam kriteria pemeriksaan di lebih 3,000 bazar Ramadan seluruh negeri adalah aspek kebersihan persekitaran, peralatan dan pengendalian makanan.

"Kaedah mempamerkan makanan juga diambil kira agar makanan sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk dimakan," katanya.