Tiga individu ditahan semula bantu siasatan kes mayat dalam gaung

Nanda (empat kiri) ketika membuat pemantauan SOP di Bazar Ramadan di Stadium Paroi, pada Isnin.
Nanda (empat kiri) ketika membuat pemantauan SOP di Bazar Ramadan di Stadium Paroi, pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN- Tiga individu dipercayai terbabit dalam kes penemuan mayat wanita tanpa identiti di dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Bukit Putus Lama pada 20 Mac lepas ditahan semula untuk siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun bersama seorang wanita berusia 18 tahun itu sebelum ini direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat, pada Isnin.

"Kesemuanya ditangkap semula bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.

"Permohonan reman terhadap tiga individu itu akan dilakukan pada Selasa di Mahkamah Majistret Seremban," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Bazar Ramadan di Stadium Paroi, pada Isnin.

Sementara itu, berhubung dakwaan salah seorang individu tersebut kebetulan merupakan suspek penjenayah dikehendaki, Nanda berkata, suspek sudah menjalani hukuman tiga tahun atas kesalahan sebelum ini mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan bukti.

Media sebelum ini melaporkan, tiga individu berkenaan yang mempunyai talian persaudaraan itu disambung reman selama enam hari yang berakhir pada Isnin bagi membantu siasatan dalam kes penemuan mayat wanita yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

Mayat wanita itu ditemui oleh seorang lelaki berusia 50-an yang sedang joging di Jalan Bukit Putus Lama kira-kira jam 10.50 pagi pada 20 Mac lalu.

Artikel Berkaitan: