Malaysia mahu jadikan Turki hab produk agrikomoditi negara

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berhasrat untuk mempergiatkan lagi industri hiliran berasaskan minyak sawit dan getah ke Turki selain menjadikannya sebagai hab produk agrikomoditi negara ke benua Eropah dan Asia Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, hasrat itu telah dinyatakan dalam pertemuan bersama Menteri Perdagangan Turki, Dr Mehmet Mus pada 27 Mac lepas, ketika mengetuai delegasi Misi Ekonomi dan Promosi Produk Agrikomoditi ke Turki pada 26-30 Mac 2022.

"Selain itu, Malaysia turut menawarkan kepakaran berasaskan teknologi getah asli iaitu galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi bagi industri pembinaan, jambatan dan laluan keretapi di Turki yang kini berkembang pesat.

"Kita juga mengadakan perbincangan untuk menjadikan Turki sebagai hab untuk produk agrikomoditi negara ke benua Eropah dan Asia Tengah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Zuraida berkata, misi tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti berterusan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam usaha mempromosi serta meningkatkan perdagangan produk agrikomoditi negara di peringkat global.

Menurutnya, pada pertemuan sama, Malaysia turut menyuarakan penghargaan ke atas Turki berhubung pengecualian cukai lebih rendah hasil kerjasama Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang telah dimeterai pada 2019.

Pada kesempatan sama, beliau turut memperjelas isu-isu berkaitan minyak sawit selain mempelawa Turki untuk memberi sokongan dalam berdepan sikap prejudis terhadap produk sawit.

Selain itu, Zuraida berkata delegasi itu turut mengadakan pertemuan bersama kalangan penggiat industri di Ankara, Turki, bagi membincangkan isu serta masalah yang dihadapi selain mempromosikan agrikomoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit, getah, kayu-kayan, koko dan lada.

Artikel Berkaitan:

Ketika di Istanbul, delegasi KKPK turut menemui pengurusan syarikat Yildiz Holdings, Peneraju Persatuan Perniagaan Turki (MUSIAD), melawat kilang perabot Sevila Movilya serta menyaksikan acara pemeteraian Perjanjian Persefahaman Bersama di antara Majlis Kayu-Kayan Malaysia dan Persatuan Pengimport dan Pengskport Kayu-Kayan Turki.- Bernama