Pusat sukan menembak You Arms miliki teknologi dan peralatan maju

Zhang Ze (tiga dari kiri) yang diiringi wakil syarikat itu, Hu Hao (kiri) dan Jenny bersama Pei Wah (tiga dari kanan) diapit Pengarah Pembangunan Perniagaannya, Datuk Tan Teck Chuan (dua dari kanan) dan Rakan Kongsi Bersekutu You Shooting Club, Fahrizal Hassan (kanan) selepas majlis tandatangan di MITEC.

A
A
A

KUALA LUMPUR – Syarikat lesen pemborong dalam jual beli, import pembaikan dan eksperimen senjata api, You Arms Sdn Bhd (You Arms) akan membina sebuah pusat sukan menembak bernilai lebih RM100 juta di Kajang, Selangor bagi mempromosikan sukan itu di Malaysia.

Pengasas You Arms Sdn Bhd, Datuk Seri Lee Pei Wah berkata, pusat sukan menembak itu akan dilengkapi teknologi dan peralatan maju selain turut menyediakan latihan berkualiti.

Menurutnya, You Arms melalui anak syarikatnya, Unggul Shooting Academy Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Poly Technologies Inc (Poly Technologies) dari China bagi merealisasikan pusat berkenaan.

Katanya, Poly Technologies akan bertanggungjawab atas rekaan dan pembinaan selain menyediakan sokongan teknikal dan peralatan.

"Pembinaan pusat ini menawarkan orang ramai akses yang lebih baik kepada sukan menembak serta pengalaman baharu yang menyeronokkan buat penggemar sukan ini.

"Apabila siap dibina, kemudahan berkeluasan 11 hektar (28 ekar) itu akan jadi pusat sukan menembak yang unggul di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media anjuran You Shooting Club Sdn Bhd (You Shooting Club) sempena majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara You Arms Sdn Bhd yang diwaklili beliau dan Poly Technologies yang diwakili Naib Presidennya, Zhang Ze di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Pengasas Bersama You Shooting Academy Sdn Bhd, Alvin Lee Chee Kong dan Jack How Keat Jie; Pengarah Pembangunan Perniagaan You Arms Sdn Bhd, Datuk Tan Teck Chuan; Wakil Poly Technologies Inc, Hu Hao dan Jenny; Zhang Ze; Pei Wah; Rakan Kongsi Bersekutu You Shooting Academy Sdn Bhd, Fahrizal Hassan; Pengasas Bersama You Shooting Academy Sdn Bhd, Zou Te Feng dan Melvin Ong Xeng Thou bergambar bersama selepas majlis berkenaan.

You Shooting Club Sdn Bhd terlibat dalam bidang ordnans (keselamatan) manakala You Arms adalah syarikat yang bernaung di bawah You Group of Companies.

Poly Technologies yang juga syarikat teras China Poly Group Corporation adalah syarikat pertahanan berskala besar yang mempunyai kebenaran kerajaan China bagi aktiviti import dan eksport pelbagai peralatan pertahanan untuk tentera darat, tentera laut, tentera udara, polis dan pasukan antikeganasan.

Pei Wah menjelaskan, pusat sukan menembak itu akan mempunyai lapang sasar terbuka 250 meter, lapang sasar tertutup 150 meter dan lapang sasar tertutup berserta skrin melingkar.

Selain itu, sebuah bangunan tiga tingkat yang terdiri daripada bilik latihan, pejabat urusan, dewan serba guna dan penginapan akan dibina untuk memenuhi keperluan program latihan malah dapat menampung pelancong dalam menawarkan pengalaman luar biasa di Malaysia.

"Kemudahan moden dengan kos jangkaan lebih RM100 juta ini juga akan jadi tempat ideal untuk mengadakan acara dan pertandingan sukan menembak peringkat tempatan dan antarabangsa,"katanya.