Jalan Tebong-Hutan Percha dijangka buka Aidilfitri ini

Rahmad (kiri) meninjau keadaan Jalan Tebong-Hutan Percha yang siap dibina pada Mac lalu.
Rahmad (kiri) meninjau keadaan Jalan Tebong-Hutan Percha yang siap dibina pada Mac lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Jalan baharu Tebong-Hutan Percha yang dijangka dibuka secara rasmi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti diyakini memberi manfaat kepada pengguna terutama penduduk sekitar Alor Gajah.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir, Datuk Rahmad Mariman berkata, jalan sepanjang lima kilometer itu mula dibina sejak Mac 2018 dengan kos lebih RM31 juta dan pembinaannya siap pada Mac lalu.

"Jalan luar bandar kategori R2 dengan lebar tiga meter satu lorong ini boleh memendekkan kira-kira 70 peratus masa perjalanan.

"Ia belum digunakan secara rasmi dan masih berada dalam tanggungan kecacatan dan dijangka dapat digunakan pada Syawal depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, pembukaan jalan baharu dijangka tersebut menjana sektor ekonomi di kawasan itu dan memberi limpahan rezeki kepada masyarakat setempat.

"Jalan ini akan menghidupkan sektor ekonomi perladangan di kawasan sekitar dan memberi kemudahan kepada Orang Asli di perkampungan berhampiran.

"Ia boleh menjadi jalan pintas bagi penduduk dari Pekan Tebong yang hendak ke Hutan Percha dengan perjalanan dari 30 minit sebelum ini menjadi pendek kepada hanya 10 minit," katanya.

Artikel Berkaitan: