Rebut peluang sumbang dana ‘Mencari Unta Merah Jepun’: JDC

Japan Da’wah Centre (JDC). Gambar kecil: Abdullah Bukhari
Japan Da’wah Centre (JDC). Gambar kecil: Abdullah Bukhari
A
A
A

SHAH ALAM - Japan Da’wah Centre (JDC) menerusi slogan 'Mencari Unta Merah Jepun' memerlukan sumbangan dana untuk meneruskan perjuangan dakwah di negara itu lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

Penasihat Utama JDC, Abdullah Bukhari Abdul Rahim berkata, dana mereka semakin berkurang disebabkan bayaran penyelenggaraan dan fasiliti mencecah RM700,000 setahun.

“Duit pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak banyak, kalau saya katakan seingat saya dalam RM200,000 lebih sahaja.

"Sekiranya tidak mampu ke Jepun untuk berdakwah, namun orang ramai mampu membantu dengan menghulurkan derma dan doa,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Abdullah Bukhari yang juga Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, slogan 'Mencari Unta Merah Jepun' itu digunakan untuk menarik perhatian masyarakat untuk menderma.

Menurutnya, ia kerana dalam Hadis Sahih Bukhari, Nabi Muhammad SAW bersabda, Maka demi ALLAH, (ganjaran yang kamu perolehi) kerana seseorang memeluk Islam (atas usahamu) lebih baik nilainya daripada (nilai) seekor unta merah (unta yang sangat mahal harganya pada orang Arab).

Antara aktiviti di Japan Da’wah Centre (JDC).
Antara aktiviti di Japan Da’wah Centre (JDC).

“Umpamanya kalau kita bantu dana ini, kita tolong buat kerja-kerja dakwah dan bantu orang masuk Islam, ia seperti kita dapat pahala 1.5 juta Ferrari (unta merah).

Artikel Berkaitan:

“Dan unta itu akan bantu kita bila mati di akhirat kelak. Jadi unta merah itu satu kiasan untuk bantu supaya kerja dakwah berjalan dan lebih ramai masuk Islam,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdullah Bukhari berkata, keunikan JDC dari segi seni bina bangunan yang direka bentuk dalam seni bina klasik Jepun menarik ramai penduduk Jepun untuk hadir di sana.

Jelasnya, pelbagai aktiviti yang dilakukan di JDC seperti program latihan industri pelajar, kelas dalam talian, kajian perniagaan halal dan pertukaran budaya dengan warga Jepun.

“JDC ini mendekati pelajar universiti dan menawarkan sesiapa untuk belajar Islam atas nama budaya dijemput pergi ke JDC.

“Bila mereka datang nak kenal Islam, Pengasas JDC, Zulkarnain Hasan Basri akan gunakan al-Quran untuk berdakwah dan cerita tentang Islam.

“Setakat ini, ramai pelajar latihan industri yang masuk Islam kerana dengan kaedah al-Quran itu tadi. Itulah keunikan JDC,” katanya.

JDC telah dibina pada tahun 2019 dan beroperasi pada April 2020 dan bangunan tersebut merupakan hasil dana daripada rakyat Malaysia sebanyak RM3.5 juta.

Pusat itu diasaskan oleh Zulkarnain Hasan Basri, 48, yang memulakan dakwahnya di Masjid Kobe, Osaka dan kini di JDC.

Orang ramai boleh memberikan sumbangan di Maybank Islamic Persatuan Fajar Iman Matahari Terbit Malaysia di 5621-0669-8737