Saya kesal dengan pergaduhan ini: Najib

Paparan skrin hantaran Najib di laman sosial Facebook, miliknya.
Paparan skrin hantaran Najib di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau berasa kesal dengan pergaduhan kecil yang berlaku di hadapan Universiti Malaya (UM) ketika beliau sedang menghadiri program santai, di sini, petang tadi.

Menurutnya, perkara seperti itu tidak patut berlaku dan penganjur program telah membuat laporan polis berhubung pergaduhan yang tercetus berhampiran lokasi program tersebut.

Bahkan, beliau turut mempersoalkan adakah berbahaya apabila beliau berucap sehinggakan sebelum ini beliau berswafoto, PH lapor kepada polis malah ketika mahu bersolat di masjid pun dilaporkan kepada polis.

“Semasa saya bersembang santai dekat UM tadi, ada enam orang yang membuat provokasi terancang dengan menggunakan propaganda PH lama "Mana RM2.6 bilion?".

ARTIKEL BERKAITAN: Program santai Najib kecoh, pelajar dicekik dari belakang

"Bahaya sangat ke, saya berucap? Saya berselfie, PH lapor polis. Saya mahu bersolat di masjid, PH lapor polis. Saya berucap, mereka buat provokasi di luar.

"Oleh kerana provokasi, satu pergaduhan kecil telah tercetus seketika. Saya kesal dengan pergaduhan ini,” katanya menerusi laman Facebook beliau, sebentar tadi.

Dalam hantaran sama, beliau juga menjawab persoalan "Mana RM2.6 bilion?" yang diajukan pelajar tersebut supaya rakyat faham.

“Pada bulan September lalu, saya pernah mencabar Kit Siang (Veteran DAP, Lim Kit Siang) beberapa kali untuk mengakui bahawa beliau tahu saya sudah kembalikan kebanyakan wang yang disebut RM2.6 bilion itu selepas 3 bulan saya menerimanya.
Artikel Berkaitan:


“Begitupun, Kit Siang memilih untuk tidak menjawab. Masa itu saya juga memuat naik dokumen-dokumen dari bank menunjukkan wang yang disebut ramai sebagai RM2.6 bilion ini telah dikembalikan kepada sumber sama yang menghantarnya, yakni "return to sender".

“Itu jawapannya,” tegas Ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam pada itu, beliau juga tertanya-tanya bilakah pemimpin PH akan mengaku bahawa beliau tidak merompak, menyamun, mencuri dan menyimpan RM2.6 bilion itu di dalam poketnya untuk membeli cincin dan beg tangan.

Dalam pada itu, Najib menyatakan beliau didakwa dengan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan RM2.6 bilion itu di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA)

“Di bawah akta AMLAFTA ini, setiap pergerakan wang samada penerimaan, pembayaran atau pindahan dikira sebagai satu tuduhan. Saya didakwa menerima dana itu.

“Saya juga didakwa enam kali kerana telah memulangkan dana kepada penghantar (yakni return to sender) serta dua pertuduhan kerana memindah wang dari satu akaun saya kepada akaun saya yang lain.

“Ini semua kertas dakwaan rasmi. Takkan palsu juga?” soal beliau.

Program Najib di hadapan Universiti Malaya (UM), di sini, kecoh apabila berlaku pergelutan antara penyokong Najib dengan beberapa pelajar UM, tadi.

Pergelutan itu berlaku ketika Najib sedang berucap manakala pelajar berkenaan memegang beberapa plakad sambil menjerit “penipu” dan “mana RM2.6 bilion” malah turut mengangkat plakad gambar badut menyerupai Najib.

Tindakan itu menyebabkan beberapa penyokong Najib berang dan mula bergerak ke arah pelajar tersebut serta mempersoalkan tindakan mereka berbuat demikian.