Cadang Pulau Pinang tingkatkan kapasiti air Empangan Air Itam

Eric (tengah) menunjukkan keadaan kapasiti air di Empangan Air Itam pada sidang akhbar pada Isnin.
Eric (tengah) menunjukkan keadaan kapasiti air di Empangan Air Itam pada sidang akhbar pada Isnin.
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang dicadangkan menjalankan projek meningkatkan kapasiti air di Empangan Air Itam bagi mengelakkan masalah bekalan air di negeri ini.

Jurucakap Parti Gerakan Pulau Pinang Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, Eric Woo berkata, kerajaan negeri juga diminta supaya menggaris semula kawasan pembekalan air dari tiga empangan utama di Pulau Pinang agar tidak berlaku masalah bekalan air di negeri ini.

Menurutnya, bekalan air merupakan isu besar berikutan ia melibatkan keperluan asas pengguna.

"Kita berasa bimbang dengan kenyataan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bahawa kapasiti empangan Air Itam kini hanya berada pada paras rendah iaitu 38.5 peratus sahaja sehingga 31 Mac lalu.

"Kerajaan negeri perlu mengambil serius dengan cadangan ini kerana kawasan di Bukit Kukus, Paya Terubong dan Bandar Baru Air Itam berkemungkinan akan wujud projek-projek perumahan baharu di sekitar projek expressway di Paya Terubong dan Bandar Baru Air Itam," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Katanya, dengan kapasiti yang dicatatkan itu, ia dilihat tidak dapat menampung keperluan penggunaan air yang semakin meningkat.

"Populasi di sekitar kawasan Air Itam telah meningkat sejak 1962 yang mana, kapasiti penyimpanan air Empangan Air itam masih pada tahap sama sejak 60 tahun dulu, sudah pasti penggunaan air di sekitar kawasan Air Itam telah meningkat.

"Sekiranya taburan hujan di kawasan tadahan air empangan Air Itam berkurangan, apa yang akan dilakukan oleh kerajaan negeri? Adakah kerajaan negeri akan mencari sumber air baharu di kawasan berdekatan yang taburan hujan lebih tinggi untuk disalurkan ke empangan Air Itam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, isu kebocoran paip bawah tanah juga merupakan isu serius dan memerlukan perhatian daripada kerajaan negeri khususnya PBAPP.

Sebelum ini, PBAPP mengeluarkan amaran situasi air di negeri ini apabila kapasiti Empangan Air Itam direkodkan rendah dengan peratusan 38.5 peratus pada 31 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, selain Empangan Air Itam, kapasiti efektif di dua lagi empangan di negeri ini sehingga Khamis lalu adalah 73.5 peratus bagi Empangan Teluk Bahang dan 91.4 peratus bagi Empangan Mengkuang.

Katanya, untuk Empangan Air Itam, kapasiti efektif pada Khamis adalah 38.5 peratus berbanding 89.3 peratus pada 1 Januari lalu.

Sejak Januari, kapasiti efektif empangan itu telah susut sebanyak 50.8 peratus kepada Tahap Amaran 38.5 peratus.

Ia berpunca daripada jumlah hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan berkenaan.