Warga Myanmar didakwa bunuh rakan senegara

So To Nay dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya Mac lalu.
So To Nay dibawa ke Mahkamah Majistret Gerik atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya Mac lalu.
A
A
A

GERIK - Seorang lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret Gerik pada Isnin atas tuduhan membunuh rakan senegaranya bulan lalu.

Tertuduh, So To Nay, 26, didakwa telah menyebabkan kematian ke atas lelaki Myanmar yang dikenali sebagai So Ko di alamat Padang Sembai di sini antara jam 12.30 tengah hari dan 3.30 petang pada 19 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, To Nay bersama rakan senegaranya, Min Aye Min Win, 34, didapati memasuki negara ini tanpa memiliki pas yang sah di kebun getah Padang Sembai di sini kira-kira jam 4.30 petang pada 21 Mac lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya dan enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas tidak memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Mohammad Nasroh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Fairoz Abd Mutalib tidak menawarkan sebarang jaminan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Myanmar.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada 20 Mac lalu melaporkan mayat lelaki tanpa identiti ditemui di kawasan semak berpaya dengan kesan tetakan di kepala dan badan disyaki dipukul.

Mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai warga Myanmar kerana tidak mempunyai tanda suntikan BCG pada lengannya.