Sidang DUN: Belanja RM1.2j untuk e-sports

Khairuddin
Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor membelanjakan hampir RM1.2 juta sejak 2014 sehingga 2018 untuk penganjuran sukan e-Sports.

Ia dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pembangunan Generasi Muda sekali gus menjadikan negeri ini sebagai pelopor dalam penganjuran e-sports ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, Selangor juga menganjurkan sukan e-sports dengan melaksanakan setiap tahun program seperti ‘Selangor Cyber Games’.

"Program ini banyak memberi peluang kepada anak muda ketengahkan bakat di dalam bidang yang sedang membangun ini.

"Terdapat banyak penganjuran berskala kecil dijalankan oleh pelbagai pihak seperti Penggerak Belia Tempatan (PeBT), pengusaha pusat siber persendirian, syarikat pembangun permainan ‘video games’ dan lain-lain pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut daripada ADUN Rawang, Chua Wei Kiat di sidang DUN di sini.

Katanya, kerajaan negeri melihat aktiviti e-sport sebagai trend baru sukan dan potensinya untuk menjadikan negeri Selangor sebagai hub e-sports antarabangsa.

"Bagaimanapun, masa ini tiada Garis Panduan khusus untuk aktiviti melesenkan e-sports menyebabkan ramai pengusaha e-sports tidak dapat membuka premis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri bercadang untuk membuat satu mesyuarat penyelarasan bersama semua Pihak Berkuasa Tempatan di negeri ini.

"Ia bagi mewujudkan satu garis panduan pelesenan sukan elektronik di pusat siber dan kafe siber serta permainan digital secara atas talian bagi membantu pengusaha e-sports melaksanakan aktiviti perniagaan secara berlesen dan dapat dikawal mengikut syarat-syarat pelesenan.

"Dengan melesenkan e-sports juga mampu menjana hasil baru pelesenan PBT di negeri Selangor," katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan memahami kehendak trend perniagaan terkini.

"Wujudnya garis panduan ini diharapkan dapat merancakkan perkembangan e-sport sebagai salah satu budaya sukan sihat untuk komuniti," katanya.