Keluasan Hutan Simpan Kelip-kelip Kampung Dew berkurang

Kar Hing (dua, kiri) meninjau keadaan Jeti Penumpang Kuala Sepetang sewaktu program lawatan kerja ke pusat pelancongan Kuala Sepetang, hari ini.
Kar Hing (dua, kiri) meninjau keadaan Jeti Penumpang Kuala Sepetang sewaktu program lawatan kerja ke pusat pelancongan Kuala Sepetang, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Masalah pertindihan tanah pemilikan di sepanjang Sungai Sepetang, di sini menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengurangkan keluasan pewartaan Hutan Simpan Kekal Kelip-kelip Kampung Dew daripada 150 hektar kepada 60.58 hektar.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing berkata, berikutan itu, Pejabat Perhutanan Negeri Perak sedang dalam proses melaksanakan penyediaan pelan warta terlebih dahulu sebelum mengemukakannya kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri.

Menurutnya, kesemua 60.58 hektar yang turut meliputi kawasan Mukim Selinsing, Kerian adalah tanah milik kerajaan negeri, memandangkan tanah selebihnya merupakan tanah milikan persendirian dan proses pengambilalihan sangat rumit.

"Pejabat Perhutanan Negeri Perak sudah mengemukakan permohonan penyediaan pelan warta kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia(Jupem) Perak pada 30 Mac lalu.

"Namun, Jupem memohon supaya berurusan dengan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bagi tujuan Permohonan Ukur (PU).

"Susulan itu, Pejabat Perhutanan kemudiannya telah mengemukakan permohonan penyediaan PW kepada PTG pada 13 Disember 2018 dan kita menjangkakan proses pewartaan akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan," katanya kepada media pada sesi lawatan kerja di Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang di sini hari ini.

Sementara itu, Kar Hing menegaskan projek menaik taraf laluan 'boardwalk' sepanjang 1.2 kilometer di dalam Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang di sini kini dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya bulan Oktober ini.

Menurutnya, projek bernilai RM1.8 juta kini sudah 30 peratus siap dan dijangka memberi manfaat besar kepada pengunjung pusat penyelidikan itu pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kerajaan negeri turut merancang mempertingkatkan kualiti infrastruktur dan kemudahan asas di pekan Kuala Sepetang agar lebih mesra pelancong dan memberi keselesaan kepada pengusaha pusat pelancongan di sini.

"Fokus perancangan kemudahan asas sedang dibincangkan meliputi tandas, jeti baharu dan tempat parkir kenderaan untuk bas persiaran serta kenderaan pengunjung," katanya.

Kar Hing (empat, kiri) mendengar pandangan wakil pengusaha pusat pelancongan Kuala Sepetang (tengah) sewaktu melawat jeti Kuala Sepetang hari ini.
Kar Hing (empat, kiri) mendengar pandangan wakil pengusaha pusat pelancongan Kuala Sepetang (tengah) sewaktu melawat jeti Kuala Sepetang hari ini.