Pengunjung patuh SOP, bazar Ramadan meriah

MERIAH... Orang ramai membanjiri Bazar Ramadan di Perkarangan Stadium Perak pada Ahad. - Foto Bernama
MERIAH... Orang ramai membanjiri Bazar Ramadan di Perkarangan Stadium Perak pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hujan di beberapa negeri tidak membantutkan keterujaan orang ramai mengunjungi bazar Ramadan bagi mendapatkan juadah berbuka pada hari pertama berpuasa terutama selepas lebih banyak kelonggaran diberikan di bawah Fasa Peralihan Ke Endemik bermula Jumaat lepas.



Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan pengurusan bazar Ramadan masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti imbasan MySejahtera selain ada yang menggunakan sistem tiket untuk mengawal jumlah kemasukan pengunjung manakala orang ramai patuh dengan pemakaian pelitup muka.

Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kampung Baru di sini mula dibanjiri pengunjung seawal jam 4 petang dan mereka masih membeli-belah walaupun terpaksa meredah hujan sekitar jam 5 petang.

Kebanyakan peniaga juga berharap perniagaan mereka mendapat sambutan lebih baik tahun ini susulan kelonggaran yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Di PUTRAJAYA, orang ramai mula berbaris seawal 4 petang di Bazar Ramadan Presint 3 yang terletak berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di tiga pintu masuk bazar itu.

Bagi memudahkan pengunjung, Perbadanan Putrajaya (PPj) menyediakan risalah menu serta pelan susun atur gerai yang boleh dilayari di laman Facebook dan Instagram rasmi PPj.

Tinjauan Bernama mendapati pada tahun ini, anak kecil turut dibenarkan memasuki kawasan bazar Ramadan selain setiap pengunjung diberikan pas khas yang perlu dipulangkan ketika mereka meninggalkan kawasan itu.

Di JOHOR, kehadiran pengunjung dari Singapura memeriahkan lagi Bazar Ramadan Taman Suria susulan pembukaan semula sempadan negara tiga hari lepas sekali gus menyaksikan keadaan jalan raya sesak di luar bazar itu.

Di TERENGGANU, hujan tidak menjejaskan operasi Bazar Ramadan di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu.

Seorang kakitangan awam Khairul Ridzuan Fauzi, 30, berkata bazar Ramadan kali ini lebih meriah berbanding tahun lepas namun dia tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi SOP dan memilih untuk tidak ke gerai yang dikerumuni pelanggan kerana bimbang penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Di KEDAH pula, difahamkan sebanyak 181 gerai menjual makanan dan minuman beroperasi dari 3 petang hingga 7 malam sepanjang bulan Ramadan ini di Bazar Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Seorang pengunjung Irma Shahila Osman, 39, berkata keluarganya teruja untuk membeli juadah berbuka di bazar Ramadan selepas dua tahun ia tidak diadakan di Negeri Jelapang Padi itu.

"Hari ini memang sengaja tak masak kerana nak tengok makanan apa yang dijual di sini. Memang lain perasaan bila sampai di sini kerana sudah dua tahun tiada bazar Ramadan, jadi memang rindu suasana macam ini," katanya.

Di KELANTAN, laluan keluar masuk di Bazar Ramadan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu dikawal rapi oleh petugas RELA bagi memastikan pengunjung mematuhi SOP ditetapkan.

Peniaga roti tempayan Mustakim Mat Daud, 37, berkata dia bersyukur kerana dapat kembali berniaga di bazar Ramadan selepas dua tahun terhenti akibat pandemik Covid-19.

"Sebelum ini saya jual roti tempayan pada harga RM3 tetapi tahun ini, saya terpaksa menaikkan harga sedikit memandangkan bahan mentah juga agak mahal,” katanya.- Bernama