Usul undi tidak percaya terhadap PM Pakistan dihalang

Imran Khan
Imran Khan
A
A
A

NEW DELHI - Timbalan Speaker Dewan Negara Pakistan pada Ahad tidak meluluskan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Perdana Menteri, Imran Khan dibahaskan dan menyifatkan ia konspirasi asing untuk menjatuhkan kerajaan.

Keputusan itu dibuat ketika ahli Parlimen bersidang untuk mengundi usul bagi menggulingkan kerajaan diterajui parti Tehreek-e-Insaf (PTI).

Ketika mempengerusikan sesi itu, Qasim Khan Suri menolak usul berkenaan sambil menyifatkan ia menyalahi undang-undang, bertentangan dengan Perkara Lima Perlembagaan yang mewajibkan setiap rakyat taat setia kepada negara.

Suri bersetuju dengan bantahan yang dikemukakan Menteri Penerangan, Fawad Chaudhry mengenai usul itu atas alasan ia merupakan pakatan asing bagi menjatuhkan Pakistan.

Fawad berkata, ia adalah "operasi untuk menukar rejim oleh kerajaan asing".

Suri mempengerusikan sidang itu selepas pakatan pembangkang sebelum ini memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Speaker, Asad Qaiser.

Pihak pembangkang memerlukan sekurang-kurangnya 172 undi daripada 342 anggota dewan untuk menjatuhkan Imran yang mula berkuasa pada 2018.

Imran sebelum ini berulang kali mendakwa pembangkang bertindak atas arahan pihak luar yang mahu menghalang Pakistan melaksanakan dasar luar yang bebas.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapan di televisyen selepas keputusan timbalan speaker itu, Imran berkata, beliau telah mengesyorkan kepada Presiden, Arif Alvi untuk membubarkan kabinet dan mengadakan pilihan raya baharu.

Fawad berkata, kabinet telah dibubarkan dan perdana menteri akan terus melaksanakan tugasnya di bawah Perkara 224 Perlembagaan.

Perkembangan terbaharu itu menandakan satu lagi pusingan konfrontasi antara Imran dan pembangkang yang berikrar mencabar keputusan timbalan speaker di Mahkamah Agung.

Pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), Bilawal Bhutto Zardari berkata, pembangkang tidak akan berganjak dari Dewan Parlimen. - Bernama